Mengapa Apple Menjual iPhone SE Dengan Skrin Kecil 4.7 Inci?

Ketika artikel ini ditulis, iPhone SE telah mula dijual secara rasmi di Amerika Syarikat. Di Malaysia pula, kita semua hanya menunggu masa untuk pihak Apple mula menjualnya secara rasmi di sini. Di kesempatan ini, sebelum rakyat Malaysia mula klik butang 'pembelian' kelak, sudah tentu ramai yang mahu tahu adakah ia merupakan sebuah pembelian yang berbaloi untuk sebuah peranti di bawah harga RM2,000.

Kapsyen: PIlihan warna iPhone SE


 

Pendapat saya, iPhone SE ini bukan untuk semua orang tetapi jujurnya saya menyukai peranti ini dan strategi yang Apple gunakan. Yang pertamanya, ada sebab mengapa peranti ini wujud. Skrin 4.7 inci pada tahun 2020? Bezel tebal atas bawah untuk tahun 2020? Skrin hanya HD sahaja?

Untuk melihat sebab di sebalik mengapa Apple masih lagi menghasilkan peranti dengan saiz kecil dan juga bezel tebal ini, kita perlu mengetahui terlebih dahulu untuk pengguna manakah iPhone SE ini.

Untuk Siapakah iPhone SE Ini?


iPhone SE ini dihasilkan adalah untuk memberi laluan naik taraf kepada pengguna iPhone 6, 6S, dan 7 dan yang setaraf dengannya. Ia merupakan naik taraf baharu untuk pengguna lama yang sudah tidak menerima sokongan kemaskini iOS terbaharu dan juga yang bakal menjadi usang tidak lama lagi disebabkan usia peranti yang sudah lama.

iPhone SE: A powerful new smartphone in a popular design - Apple

Untuk pengguna-pengguna ini, adakah pembelian iPhone SE ini berbaloi? Sudah tentu tetapi untuk anda yang bukan pengguna iPhone lama ini, ia mungkin tidak. Pertamanya pasaran iPhone 6, 6S, dan 7 di seluruh dunia adalah tersangat besar. Untuk Apple memaksa pengguna mereka supaya terus menerus menggunakan iPhone, pengguna-penguna ini terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli model sedikit murah seperti iPhone XR atau iPhone 11.

Dengan kewujudan iPhone SE ini, Apple boleh terus 'memujuk' pengguna iPhone supaya terus menggunakan jenama tersebut dan bukannya berpindah ke Android. Jadi, pengguna-pengguna ini tidak perlu mengeluarkan ribuan ringgit untuk terus kekal menggunakan produk yang mereka sudah selesa gunakan sejak sekian lama.

iPhone SE juga menjadi calon paling sesuai untuk pengguna Android yang mahu merasa pengalaman menggunakan iPhone terkini namun tidak mahu mengeluarkan ribuan ringgit. Sudah tentu mereka boleh membeli peranti terpakai dengan harga lebih murah. Tetapi kita sedang bercakap tentang iPhone terkini sekarang ini.

Adakah Spesifikasi iPhone SE Mencukupi Untuk Tahun 2020?


Rata-rata warga internet memberikan komen bahawa skrin pada iPhone SE ini terlampau kecil untuk tahun 2020. Ditambah lagi dengan skrin LCDnya. Perlu diingatkan kepada golongan yang mengkritik ini, pada iPhone 6, 6S, dan 7 sebelum ini, adakah paparannya berbeza?

Tidak, bukan? Disebabkan ia ditujukan untuk golongan pengguna iPhone 6, 6S, dan 7, sudah tentu skrin iPhone SE ini langsung tidak memberi masalah dari segi penggunaan. Bezel tebal? Mereka sudah biasa dengannya? LCD. Oh tahukah anda LCD Apple adalah yang terbaik dalam pasaran.

Kapsyen: Paparan iPhone SE


Tambahan lagi, ia bukannya LCD biasa-biasa. Terdapat juga sokongan piawaian moden seperti HDR10 dan Dolby Vision. Skrin masih setakat HD 750p pada harga RM2000? Saya fikir mungkin Apple kedekut untuk memberikan panel Full HD 1080p, namun anda perlu ingat harga peranti ini yang rendah.

Jika Apple bercadang mahu memberikan panel Full HD, sudah tentu mereka terpaksa menghasilkan jenis panel yang baru. Jadi untuk mengekalkan kos peranti yang rendah, mereka hanya menggunakan rekaan panel sedia ada dan mengitar semulanya ke iPhone SE ini.

Lengkap dengan Touch ID lagi. Pengguna mana yang guna iPhone dengan Touch ID ini? iPhone 6S dan 7. Nampak cantik sahaja peralihan peranti untuk penggunaan pengguna iPhone lama ini.

Mengapa Cip Apple A13 Bionic?


Kemudiannya spesifikasi yang paling penting, cip pemprosesan iPhone SE - Apple A13 Bionic. Mengapa A13 Bionic? Mengapa tidak cip lain seperti A12 Bionic? Pada pendapat saya ada satu sebab yang jelas iaitu Apple mahu memberikan sokongan perisian kepada iPhone SE ini lebih lama dengan menggunakan cip yang lebih berkuasa.

Kapsyen: iPhone SE


Mungkin pada masa hadapan Apple akan berhenti dari mengeluarkan peranti dengan rekaan bezel tebal sebegini. Jadi, hanya dengan penggunaan cip yang paling berkuasa sahajalah Apple dapat memastikan penggunanya terus kekal menggunakan iPhone tanpa perlu memikirkan masalah prestasi atau sokongan kemaskini.

Seperkara lagi, tahukah anda Apple tidak menjual cip pemprosesan mereka kepada sesiapa? Ini bermakna tindakan Apple meletakkan cip A13 Bionic dalam maksud yang lain adalah merupakan tindakan 'sesuka hati' pasang letak sahaja. Apple bukannya Qualcomm. Qualcomm menjual cip Snapdragon kepada pengeluar Android.

Jika Qualcomm menjual cip pada harga yang tinggi seperti Snapdragon 865, maka secara tidak langsung akan mahal jugalah peranti Android tersebut.

Disebabkan Apple tidak menjual cip kerana mereka hanya menghasilkannya untuk diri mereka sendiri, Apple dengan mudahnya boleh meletakkan cip yang paling berkuasa mereka pernah hasilkan dalam peranti mereka yang paling murah. Itulah apa yang terjadi kepada iPhone SE ini.

Tetapi Hanya Ada Satu Kamera Sahaja Di Belakang?


Pada iPhone SE (2016), Apple meletakkan kamera belakang bertaraf iPhone 6S yang ketika itu hanya berusia 1 tahun sahaja. Untuk iPhone SE (2020), jika melihat kepada spesifikasi di laman rasmi Apple terdapat perkataan Smart HDR diungkapkan dan juga sokongan Portrait Mode berkemungkinan ia merupakan sensor dari iPhone XR.

Kapsyen: iPhone XR dengan Portrait Mode


Namun, apa yang lebih tepat adalah ia merupakan sebuah sistem kamera yang 'baharu' dengan menggabungkan sensor dari iPhone XR atau 8 dengan padanan kuasa pemprosesan dan enjin neural A13 Bionic. Apa yang selamat untuk dijangka adalah kameranya akan bertaraf seperti sama ada dari iPhone XR atau iPhone 8.

Kapsyen: Spesifikasi kamera iPhone SE


Satu lensa sahaja? Pada iPhone 7 Plus, Apple buat pertama kalinya meletakkan sistem dwi-kamera pada bahagian belakang untuk menyokong imej bokeh. Namun disebabkan Apple kini mampu untuk melakukan imej bokeh hanya dengan satu lensa bermula iPhone XR, tiada keperluan untuk Apple menyertakan tambahan lensa telefoto pada iPhone SE ini.

Jadi, cukup memadai jika disertakan hanya satu kamera sahaja. Apalah gunalah kamera yang banyak jika kualiti pun entah apa-apa, bukan?

Satu Sebab Yang Boleh Menjadi Kelemahan Utama


Jika ada perkara yang boleh menghalang anda untuk membeli iPhone SE ini, ia adalah baterinya yang sekadar cukup-cukup makan sahaja. Walaupun peranti ini belum lagi dipegang oleh orang ramai untuk menguji prestasi baterinya, Apple mengatakan baterinya mampu bertahan lebih kurang seperti iPhone 8.

Kapsyen: Spesifikasi bateri iPhone SE


Saya tiada iPhone 8 untuk mengatakan bagaimana baterinya bertahan, namun kebanyakan pengguna melaporkan prestasi bateri iPhone 8 tidaklah teruk, akan tetapi pada masa yang sama tidak juga cemerlang. Pengguna boleh menjangka penggunaan tidak lebih dari 5 jam dari segi screen-on-time.

Bateri iPhone SE ini sememangnya hanya kecil (1,821mAh) dan langsung tidak melebih 2,000mAh. Namun untuk pengguna-pengguna iPhone 6, 6S, dan 7, sudah tentu mereka sudah biasa dengan tahap penggunaan bateri yang rendah sebegini. Jadi, mungkin mereka tiada masalah setelah mereka mula menggunakan iPhone SE ini kelak.

Namun perlu dinyatakan bahawa perantiĀ  ini menggunakan cip A13 Bionic yang dikenali pada siri iPhone 11 sebagai sebuah cip yang memang jimat tenaga. Masih menjadi teka-teki buat masa ini. Apa yang pasti Apple telah memberi ukur aras ketahanan baterinya dan jika anda merasakannya tidak cukup untuk penggunaan seharian anda, iPhone SE bukan peranti yang sesuai untuk anda.

Kesimpulan


Apple telah membuktikan mereka boleh menghasilkan peranti bawah RM2,000 dengan hanya sedikit kompromi. Walaupun peranti ini belum mula dijual di Malaysia, saya berani 'bertaruh' ia akan menjadi antara peranti popular dan mudah didapati pada kebanyakan pengguna.



Jika sebelum ini pengguna terpaksa mengeluarkan ribuan ringgit untuk mendapatkan sebuah iPhone terkini. Kini hanya dengan berbekalkan RM2,000, mereka boleh mendapat iPhone terkini dengan cip pemprosesan pantas yang menjamin penggunaan mereka dari segi sokongan perisian untuk 4 ke 5 tahun akan datang.

 

 

Berkaitan