Media Digesa Lebih Beretika, Tidak Siar Grafik Jasad Mangsa Kemalangan

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), menyatakan kebimbangan mengenai beberapa laporan berita terkini contohnya seperti tragedi Elmina yang memaparkan gambaran grafik mangsa-mangsa dan keadaan penemuan jasad mereka yang mendukacitakan.

Ia susulan daripada liputan yang dibuat oleh beberapa laporan berita mengenai insiden itu yang didapati mengandungi gambaran grafik yang keterlaluan dan tidak wajar, menyebabkan tekanan dan keresahan di kalangan pembaca dan warga industri.

CMCF berkata, sebagai sebuah forum industri dan badan kawalselia kendiri yang komited dalam menegakkan kandungan yang bertanggungjawab dan beretika, badan itu tegas berpegang kepada peranan penting kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat sambil mengekalkan rasa hormat terhadap individu yang terlibat, keluarga, dan orang yang mereka sayangi.

Adalah penting supaya media menjaga keseimbangan antara memberikan butiran maklumat penting dan mengamalkan empati semasa melaporkan kejadian seperti ini.

CMCF mengingatkan adalah penting bagi media untuk menggunakan budi bicara editorial dengan mempertimbangkan kesan gambaran grafik ke atas pembaca dan individu yang terkesan serta keluarga mereka.

Pelaporan secara bertanggungjawab melibatkan maklumat yang tepat sambil mengelakkan elemen sensasi, agar mengekalkan rasa hormat terhadap maruah dan privasi mangsa serta orang tersayang.

Sehubungan itu,  CMCF menggesa wartawan dan organisasi berita untuk memberi keutamaan kepada empati dan belas kasihan dalam usaha mencari dan melaporkan kebenaran.

Tragedi Elmina adalah pengajaran tentang tanggungjawab beretika yang diamanahkan kepada ahli media.

{suggest}

Sumber: Siaran media CMCF