Mark Zuckerberg Perlu Digantikan Dari Jawatan Pengerusi Facebook - Pemegang Saham

Tidak tahan dengan lambakan kontroversi dan dakwaan yang menyerang Facebook, beberapa pemegang saham utama syarikat gergasi berkenaan kini mahu Mark Zuckerberg dilucutkan jawatan sebagai Pengerusi Facebook.

Mark yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Facebook didakwa telah gagal menyelesaikan beberapa masalah dan skandal berprofil tinggi dengan baik. Kegagalan itu menyebabkan saham Facebook jatuh menjunam beberapa kali lantas menyebabkan pemegang saham menerima kerugian.

Cadangan menggantikan Mark Zuckerberg ini sebenarnya telah wujud sejak Jun lagi, apabila pertama kali dikeluarkan oleh Trillium Asset Management. Kini beberapa pihak lain juga telah bersetuju untuk menfailkan cadangan tersebut secara bersama pada Rabu.

Kapsyen: Perubahan nilai saham FB dalam 6 bulan terakhir


Untuk rekod, saham Facebook jatuh kepada nilai $159.42 sesaham pada Rabu, jauh lebih rendah berbanding nilai $217.50 pada 25 Julai lalu. Malah ia juga adalah 10% lebih rendah daripada nilai saham di awal tahun ini. Perkara ini jelas menimbulkan kerisauan kepada para pemegang saham.

Lantas, mereka bercadang mahu menggantikan Mark dengan seorang Pengerusi bebas. Cadangan itu akan dibincangkan dan diputuskan melalui undian semasa mesyuarat tahunan pemegang saham Facebook yang akan diadakan pada Mei tahun depan.

Bagaimanapun, jurucakap Facebook buat masa kini masih berdiam diri mengenai perkara ini.

 

Sumber : Gizmodo