Mahukan HONOR MagicBook Dengan CPU Ryzen 4000? Tunggu Pelancarannya 16 Julai Ini

Baru-baru ini, untuk pasaran Malaysia, HONOR ada mengumumkan sebuah komputer riba MagicBook. Namun, ia masih menggunakan cip Ryzen 3000 yang lama dan bukannya 4000 yang lebih berkuasa.

Untuk anda yang kecewa dan mahukan MagicBook dengan cip Ryzen 4000, mungkin anda perlu menunggu 16 Julai ini.  Ini adalah disebabkan HONOR akan melancarkan sebuah MagicBook baharu dengan cip Ryzen pada tarikh tersebut.



Melalui seorang pelapor popular dalam arena komputer riba dan PC, dikatakan HONOR mungkin akan menggunakan 2 varian cip Ryzen 4000 iaitu Ryzen 7 4800H dan Ryzen 4600H dalam MagicBook Pro.

https://twitter.com/_rogame/status/1282445227966582784

Kedua-dua jenis cip ini sudah digunakan dalam kebanyakan pengeluar komputer riba dan ketibaannya dalam portfolio HONOR semestinya menggembirakan peminat MagicBook.

Melalui maklumat tersebut juga, MagicBook yang baharu ini masih lagi tidak menggunakan kad grafik khusus Nvidia ataupun dari AMD sama seperti model sebelumnya. Namun disebabkan prestasi grafik terbina dari AMD Ryzen 4000 yang lebih berkuasa, grafik Vega tersebut akan setaraf atau lebih kurang sahaja dengan prestasi dari Nvidia MX350.

Antara aspek positif dengan tidak menyertakan sebarang kad grafik adalah komputer riba tidak menggunakan kuasa pemprosesan yang tinggi. Secara tidak langsung ia boleh dibina dengan rekaan yang nipis pada masa yang sama masih mencukupi untuk menyejukkannya.

Jadi untuk anda yang tidak sabar-sabar dengan pengumuman MagicBook HONOR terbaharu ini, ayuh nantikannya 16 Julai ini.

Sumber: Weibo