(Reaksi Awal) Siri Samsung Galaxy S24 - Tak Perlu Pixel, Ini Pun Dah Ada AI

Siri Samsung Galaxy S24 akhirnya rasmi buat pasaran global dan juga Malaysia. Peranti ini sebenarnya akan menimbulkan rasa tidak seronok pada pengguna dan juga ada yang teruja.

Kenapa? Sebabnya "game" atau strategi Samsung untuk tahun 2024 ini sedikit berbeza berbanding pesaingnya. Rasanya, anda sendiri sudah sedar yang acara Galaxy Unpacked tahun ini memfokuskan kecerdasan buatan atau AI.

Namun, apa yang Samsung cuba sampaikan atau ketengahkan sebenarnya? Jangan risau, saya akan cuba ceritakan seringkas yang boleh.

Anda boleh rujuk spesifikasi penuh dan harga di sini - https://wiser.my/siri-galaxy-s24-kini-rasmi-bingkai-titanium-galaxy-ai-harga-bermula-rm4099

https://www.youtube.com/watch?v=giDNM2Diusc

AI Sebagai Pembantu Utama Dalam Siri Samsung Galaxy S24




Bila bercakap tentang AI, dalam kepala mesti terbayang image generator atau sembang dengan ChatGPT.

Sebenarnya, Samsung tak mahu anda berfikiran sebegitu. Sebaliknya, mereka mahu AI ini memudahkan kerja atau tugasan harian anda apabila menggunakan peranti Galaxy mereka.

Apa yang saya boleh katakan, kebanyakan ciri AI yang Samsung bawakan dalam siri Galaxy S24 mereka adalah yang anda biasa tengok juga.

Cumanya, Samsung "membuat helah" kepada anda. Apa yang saya nampak, ia umpama ciri baharu dalam One UI tetapi diintegerasikan dengan AI.

Ciri AI Dalam Siri Samsung Galaxy S24


Terjemahan lebih mudah dan secara live

Tak perlu risau, kesemua siri Samsung Galaxy S24 sudah didatangkan ciri AI. Pertama sekali adalah Live Translation. Sekali baca pun anda dah tahu apa fungsinya bukan?

Ia bukanlah sebuah ciri yang disembunyikan Samsung kerana mereka terlebih awal telah mengumumkannya sebelum ini.

Di sini, ada dua jenis fungsi terjemahan, iaitu semasa membuat panggilan audio atau voice call. Satu lagi adalah bercakap secara bersemuka.

AI

Maknanya, sekiranya anda menggunakan peranti Galaxy S24 dan ada kenalan bertutur bahasa Korea membuat panggilan suara, beliau tidak perlu bercakap bahasa Inggeris kepada anda. Sebaliknya, cakap sahaja dalam bahasa Korea dan ia akan diterjemah secara terus kepada bahasa yang anda pilih.

Sama juga dengan terjemahan secara langsung, mudah kata, ia ibarat anda menggunakan "Google Translate" tetapi dalam keadaan secara langsung.

Melaluinya, mudah untuk kita bertutur dengan orang berlainan bahasa, khususnya apabila kita pergi mengembara.

Tambahan lagi, anda tak perlukan sambungan internet kerana bahasa-bahasa tersebut boleh dimuat turun dan digunakan tanpa internet.

AI

Namun, buat masa sekarang hanya ada 6 bahasa sahaja untuk Asia dan tiada bahasa Melayu. Saya ada bertanyakan perkara ini kepada Samsung dan mereka tidak pasti adakah bahasa Melayu akan ditawarkan dalam masa terdekat.

Tak bahaya ke? Macam mana dengan privasi?

Samsung berkata anda boleh pergi ke tetapan untuk menjadikan proses data terjemahan ini dilakukan di dalam peranti sahaja.
Tulis mesej dan nota lepas ni ada AI datang tolong

Ini salah satu ciri AI yang menarik perhatian saya. Selepas ini, papan kekunci (keyboard) Samsung akan hadir dengan AI.

Ia boleh membantu kita semasa taip mesej. Sebagai contoh, ia boleh menukar nada suara kita ketika berkomunikasi — default, emoji, polite, professional dan casual.

Ibarat, kita tidak tahu macam mana mahu membalas mesej dalam nada yang profesional di dalam kumpulan perbualan WhatsApp kerja, AI Samsung sedia membantu anda. Ciri ini dipanggil S style tone.



Malah, ia juga boleh terjemah bahasa secara langsung pada aplikasi permesejan.

Antara aplikasi yang menyokong fungsi AI tersebut adalah WhatsApp, Instagram, FB messenger, Line. Telegram, tidak menyokongnya.

Akan tetapi seperti biasa, ia tidak menyokong bahasa Melayu sepenuhnya. Namun, ia menyokong bahasa Indonesia bagi ciri tukar nada suara tersebut.

Selain itu, apabila anda sedang mengambil nota, to do list, nak beli barang dapur atau minit mesyuarat, ia juga boleh menukar format tersebut. Ini termasuk dengan membetulkan typo.

Akan tetapi seperti biasa, ia tidak menyokong bahasa Melayu sepenuhnya.

Kalau ada pencampuran kod bahasa atau bahasa rojak, macam mana?

AI akan "sedikit pening" dan mungkin tidak akan faham dengan apa yang anda maksudkan.

Tambahan lagi, terdapat juga ciri meringkaskan artikel yang panjang. Untuk ini, ia menyokong ringkasan artikel yang berbahasa Indonesia.
Bulatkan aje kalau nak guna fungsi Google Lens

Buat pertama kali di dunia (seperti yang didakwa Samsung), ciri circle to search with Google diperkenalkan secara rasmi dan digunakan pada siri Galaxy S24.



Fungsinya mudah, anda perlu tekan butang Home lama-lama atau garisan gestur, kemudian tekan butang AI (3 bintang). Seterusnya, bulatkan sahaja gambar untuk melakukan carian di Google atau gariskan sahaja tulisan untuk buat terjemahan dan sebagainya.


Tak perlu beli Pixel atau langgan Google One untuk dapat fungsi suntingan gambar guna AI

Setiap kali pengguna Android melihat peranti Pixel, mesti anda akan rasa seronok dapat fungsi edit gambar menggunakan AI bukan?



Jangan risau, siri Samsung Galaxy S24 kali ini didatangkan dengan ciri AI photo editing. Anda boleh betulkan komposisi gambar, resize atau buang objek dan lain-lain.

Samsung juga menawarkan suggest edit yang mana ia membantu bagi anda yang tidak berapa tahu asas dalam suntingan gambar.

Selain fungsi buang objek atau magic eraser, saya juga tertarik dengan fungsi membuang bayang pada gambar, menghilangkan pantulan pada cermin ketika mengambil gambar dan generative edit.

Ya, Samsung ada ciri generative dalam gambar tetapi ia tidaklah sehebat yang kita lihat pada perisian Adobe Photoshop.



Secara ringkasnya, apabila kita betulkan "alignment" gambar yang senget, Samsung boleh mengisi ruang latar belakang dengan AI. Ciri ini mengambil sedikit masa yang mungkin boleh mencapai ke 2 minit. Bergantung kepada gambar tersebut.

Kapsyen: ada tera air


Malah, setiap gambar yang ada sentuhan AI ini pun akan diletakkan tera air (watermark) yang mana ia menunjukkan bahawa ia sudah disunting dengan AI. Secara tak langsung mengelakkan "penularan" gambar palsu atau salah guna.

Sistem Kuad Telefoto




Bagi anda yang tertunggu-tunggu pada bahagian kamera, tidak banyak penambahbaikan yang dilakukan Samsung kali ini meskipun pada Galaxy S24 Ultra.

Cuma kali ini mereka memfokuskan sistem kuad telefoto yang mana zum optikal 2x/3x/5x/10x bagi gambar dan video.

Samsung menggelarnya 50MP adaptive pixel sensor. Secara keseluruhan, sistem kamera Galaxy S24 Ultra masih lagi sama dengan Galaxy S23 Ultra.



Namun, zum 5x 50MP pada Galaxy S24 Ultra jauh lebih baik. Setakat yang saya uji, saya agak berpuas hati dengan kualitinya walaupun belum menguji sepenuhnya lagi.

Tambahan lagi, zum 5x sudah ditawarkan untuk mod potret dan juga pada rakaman video 8k. Dengan ini, lebih banyak pilihan jarak fokus ketika kita menggunakan kameranya.

Untuk prestasi gambar atau video malam pun dijangka akan lebih baik kerana OIS kali ini sudah dipertingkatkan.



Antara ciri lain adalah pratonton (preview) video dalam keadaan slow motion. Ia hanyalah fungsi untuk membantu kita melihat detik-detik menarik dalam video yang dirakam dan bukan menyimpan (save) fail baharu atau tukarkan format video tersebut kepada slow-mo.

Ada juga ciri melihat gambar HDR dalam gallery yang secara tidak langsung dapat memanfaatkan skrin dia yang cerah.

Selain daripada yang saya beritahu, hampir kesemua sistem kamera dalam siri Samsung Galaxy S24 adalah sama sahaja.

Pun begitu, ini hanyalah reaksi awal saya sahaja, mungkin juga saya salah dan ubah tanggapan lain apabila ulasan penuh nanti.

Selamat Tinggal Skrin Melengkung




Memang nampak macam sama sahaja rekaan siri Galaxy S24 dengan model sebelum ini. Namun, Samsung Galaxy S24 dan S24+ sudah menampilkan sisi yang rata.

Apa yang saya boleh katakan adalah, ia lebih boxy, sedap dan lebih premium berbanding model terdahulu.



Untuk model paling berkuasa, Galaxy S24 Ultra pula mengikut pesaingnya — Xiaomi dan Apple yang mana menggunakan bingkai Titanium.



Ringan ke? Bagi saya, ya memang ringan berbanding S23 Ultra tetapi tidaklah terlalu ketara perbezaannya. Tidak seperti model iPhone Pro yang beralih kepada bingkai Titanium. Saya beranggapan bahawa model iPhone Pro sebelum ini memang sudah cukup berat, apatah lagi model Pro Max.

Malah, mungkin atas faktor S24 Ultra pun sudah pakai Corning Gorilla Glass Armor yang mana lebih tahan lasak, lebih susah calar dan kurang pantulan sebanyak 75% pada skrin hadapan.



Bercakap tentang skrin, Samsung akhirnya menawarkan paparan jenis rata pada semua model Galaxy S24. Saya memang puji dan juga agak sedih.

Saya puji kerana skrin melengkung ini agak menyusahkan baik dari segi penggunaan serta meletakkan aksesori kaca bajaan (tempered glass). Sementara saya sedih kerana nampaknya Samsung dengan rekaan ikonik skrin melengkung akhirnya tinggal sebagai memori sahaja.



Tidak mengapa, ini kerana puncak kecerahan paparannya kini sudah mencapai sehingga 2600 nits. Memang mudah nak digunakan apabila berada di luar. Akan tetapi, saya hairan mengapa Samsung tidak terus menawarkan sehingga 3000 nits.

Era AI Untuk Samsung Kini Bermula




Sebelum mengakhiri, suka cita saya mahu mengatakan yang Samsung Galaxy S24 Ultra menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy. Manakala, S24+ dan S24 dikuasakan cip Exynos 2400.

Tapi jangan risau kerana dari segi ciri AI, barisan Galaxy S24 masih boleh gunakannya.

Samsung ada juga mengatakan yang akan ada beberapa ciri AI ini ditawarkan untuk model selain Galaxy S24 tetapi mungkin tidak semua ciri dan tidak semua model menerimanya atas faktor kemampuan cip pemprosesan terdahulu yang terhad.

Walau apa pun, saya nampak yang Samsung memang benar-benar mahu menjadikan AI adalah yang utama dalam peranti mereka akan datang. Sementara perkakas (hardware) nombor dua.

Kalau anda tanya saya, sejujurnya saya berminat dengan ciri AI dan perisian yang Samsung tawarkan. Ini kerana saya sudah bosan dengan "templat" lebih kurang setiap tahun dalam mana-mana telefon pintar.

Jadi, AI dalam telefon pintar berkelas andalan selepas ini akan jadi trend atau ikutan bagi mana-mana jenama, khususnya Apple kerana Google telah mula langkah kanan mereka.

Bagi anda macam mana? Dengan kenaikan harga bagi kesemua barisan siri Samsung Galaxy S24 tetapi mempunyai penawaran AI dan kemas kini cukup lama setanding peranti Google Pixel, adakah anda masih berminat atau sebaliknya?

Beli siri Samsung Galaxy S24 di:

Lazada - https://invol.co/clkll9r

Shopee - https://invl.io/clkllaj