Lembaga Angkasa Malaysia (Interim) Ditubuhkan Ogos Ini, Syarikat Perlu Daftar Objek Angkasa

MOSTI memaklumkan sebuah agensi akan ditubuhkan pada bulan hadapan iaitu Lembaga Angkasa Malaysia (interim).

Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) telah diwartakan pada Januari lepas, bertujuan mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan aktiviti angkasa.

Dato' Sri Dr. Adham Baba menjelaskan bahawa Lembaga Angkasa Malaysia 2022 pada fasa awal ini bertanggungjawab menasihati Kerajaan berkaitan perkara-perkara berhubung pelaksanaan dan penggubalan Akta itu.

Ia termasuklah memantau dan menilai penggubalan draf peraturan-peraturan serta menyediakan garis panduan dan arahan bersesuaian sebelum dikuatkuasakan pada awal 2023 kelak.



Oleh itu, buat waktu ini semua syarikat dan industri dinasihatkan untuk mendaftarkan semua satelit dan sebarang objek angkasa yang telah dilancarkan kepada MOSTI.

Setelah berkuat kuasa, semua objek angkasa yang telah dilancarkan sebelum ini akan tertakluk di bawah Akta 834 dan hendaklah didaftarkan dalam tempoh 6 bulan.

Lembaga ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Waktu ini, kita sudah pun memiliki badan berkaitan angkasa contohnya Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Sumber: MOSTI