Menurut laporan eksklusif Paul Tan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengeluarkan peraturan baharu yang lebih ketat untuk kenderaan elektrik import penuh (CBU EV) yang akan berkuat kuasa mulai Julai 2026.
Berdasarkan surat pekeliling MITI yang diedarkan kepada pemegang Franchise Approved Permit (AP), semua CBU EV yang diimport perlu memenuhi dua syarat utama:
- Nilai CIF minimum RM200,000
- Kuasa minimum 180 kW (setara 245 PS atau 241 hp)
Akibatnya, harga atas jalan (OTR) minimum di pasaran dijangka mencecah RM300,000 dan ke atas. Stok sedia ada serta kenderaan dalam transit dikecualikan daripada peraturan baharu ini.
Langkah ini dilihat sebagai usaha MITI untuk menggalakkan lebih banyak jenama melakukan pemasangan tempatan (CKD) dan melindungi industri automotif negara, khususnya Proton.
Ia selaras dengan kenyataan MITI sebelum ini yang menafikan dakwaan memaksa BYD mengeksport 80% pengeluaran dan mengekalkan harga EV CKD bermula RM100,000.
Dengan peraturan ini, banyak model EV popular import seperti BYD Atto 3, M6, Atto 2, MGS 5 dan model seumpamanya yang kuasa di bawah 245 PS dijangka tidak lagi boleh diimport secara CBU.
Secara keseluruhan, peraturan tersebut juga akan merencatkan sedikit peralihan pengguna kepada EV kerana pilihan makin berkurang terutama pada harga RM100k-RM300k. EV Proton pun bukanlah benar-benar mampu milik (kecuali e.MAS 5). Perodua pula? Seolah-olah sudah hilang dari radar.
{suggest}
