Lakukan 3 Perkara Ini Jika Anda Terkesan Dengan Penyebaran Berita Atau Kandungan Tidak Benar

Seperti semua tahu, menyebarkan berita palsu atau kandungan tidak benar di platfom media sosial adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang didapati bersalah.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengingatkan orang ramai bahawa pihak mereka memandang serius terhadap sebarang penyebaran berita atau kandungan tidak benar.

Terutamanya melalui aplikasi-aplikasi pemesejan dalam talian seperti WhatsApp.

Ini kerana penyebaran berita tidak benar boleh mengakibatkan ketakutan, panik, kegusaran atau kekecohan kepada orang awam, yang seterusnya berpotensi memudaratkan negara terutamanya dalam keadaan menghadapi pandemik COVID-19.

Justeru, SKMM menggesa mana-mana pihak yang terkesan dengan penyebaran berita atau kandungan tidak benar untuk mengambil langkah-langkah berikut:

1) Membuat laporan polis di balai polis yang berdekatan bagi membolehkan siasatan dijalankan. Sertakan sekali dengan bukti seperti tangkap layar (screenshot) serta pautan (URL) kepada kandungan berkenaan, termasuklah maklumat seperti nama dan maklumat individu (ID akaun dan nombor telefon) yang melakukan sebaran untuk membantu siasatan.

2) Membuat kenyataan penafian atau penjelasan terhadap sebarang dakwaan yang tidak benar atau tidak tepat, bagi menghentikan berita atau kandungan berkenaan daripada terus disebarluaskan.

3) Membuat laporan penyalahgunaan secara terus kepada penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, TikTok dan sebagainya yang terlibat dalam memastikan penggunaan adalah mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka, yang berpangkalan di luar negara.

Orang ramai dinasihatkan supaya memanfaatkan portal Sebenarnya.my dengan menyalurkan maklumat yang diragui kesahihannya melalui ruangan “Salur Kepada Kami” (https://sebenarnya.my/salur/).

Sumber: SKMM

Baca juga: Diskaun Sebanyak 50% Untuk Saman Trafik Bermula 18 Jun

Dua Taktik Penipuan Online Banking Yang Telah Di Kenal Pasti SKMM

Amaran PDRM Kewujudan Aplikasi MyBNM Palsu