Lagi Info Mengenai Huawei P30 & P30 Pro Didedahkan Menjelang Pelancaran

Siri kelas perdana Huawei P30 dijadual akan dilancarkan di Paris pada bulan hadapan. Menjelang tarikh tersebut, lebih banyak informasi mengenainya dikatakan tertiris atas talian.

Antaranya ialah portal dari Jerman, WinFuture telah mendedahkan rekaan render rasmi bagi kedua-dua model dalam siri berkenaan yang juga memberi gambaran berkenaan beberapa ciri yang bakal dimiliki oleh peranti tersebut.



Bagi model P30 Pro, ia akan hadir dengan empat kamera yang mana tiga sensor kamera biasa dan satu lagi dipercayai adalah sensor ToF yang dipasang secara bersebelahan.

Di bahagian depan pula, paparan skrin OLED yang digunakan bakal hadir dengan rekaan takuk kecil atau "waterdrop".



Untuk model asas pula, ia hanya akan hadir dengan tiga lensa kamera tanpa sensor tambahan yang dimiliki oleh versi Pro. Pada bahagian depan, ia kelihatan sama seperti yang ditawarkan pada P30 Pro.

Selain itu, kedua-dua model ini dijangka akan didatangkan dengan imbasan cap jari dari dalam skrin memandangkan tiada sensor imbasan cap jari kelihatan pada panel belakang mereka.

Dari segi dalaman pula, kami hampir pasti bahawa P30 dan P30 Pro ini akan dilengkapi dengan cip Kirin 980 dengan memori RAM minima 6GB RAM.

 

Sumber: WinFuture