Konsol Generasi Akan Datang Xbox Dilaporkan Akan Hadir Pada Tahun 2020

Pada persidangan E3 Microsft baru-baru ini, mereka telah mengesahkan bahawa mereka sedang dalam proses awal membangunkan keluaran terbaru bagi konsol permainan mereka iaitu Xbox. Berkaitan dengan itu, semalam, satu laporan di dalam laman Turrott.com telah menyatakan yang konsol berkenaan dijangka akan menemui peminat pada tahun 2020.

Menurut laporan berkenaan, Xbox yang terbaru itu dikatakan termasuk dalam beberapa peranti yang sedang dibangunkan oleh Microsoft di bawah projek yang diberi kod nama Scarlett. Ini bermakna Microsoft mungkin akan memperkenalkan beberapa peranti lain pada tahun yang sama.



Microsoft juga dikatakan akan mengekalkan servis penstriman permainanan video generasi terdahulu pada konsol terbaru Xbox berkenaan. Ini bermakna permainan video Xbox One akan dapat dimainkan pada peranti berkenaan.

Bagaimanapun, projek ini dikatakan masih lagi di peringkat awal pembangunannya. Sebelum ini, Microsoft telah mengumumkan mereka akan melancarkan Xbox TV semasa persidangan E3 2016. Namun, akhirnya peranti tersebut telah dibatalkan atas sebab tertentu.

Sehubungan dengan itu, peminat Xbox disarankan agar tidak meletakkan sebarang harapan yang terlalu tinggi pada pengumuman terbaru daripada mereka kali ini. Mungkin kita terpaksa menanti sehingga persidangan E3 tahun hadapan untuk mengetahui dengan lebih jelas berkenaan perkembangan projek Scarlett oleh Microsoft ini.

Sumber