E3 2018 : Microsoft Sah Sedang Bangunkan Konsol Xbox Terbaru

E3 2018 sedang berlangsung di California ketika ini. Penggiat industri permainan video bersidang mengikut giliran bagi memberi maklumat dan pendedahan berkenaan perancangan masing-masing bagi masa setahun akan datang. Syarikat teknologi Amerika Syarikat, Microsoft turut terlibat dalam persidangan berkenaan.

Mereka telah pun membuat pembentangan mereka semalam dan antara perkara yang paling menarik perhatian pada pembentangan tersebut ialah pengumuman berkenaan sebuah konsol generasi baru Xbox. Mereka telah mengesahkan bahawa pembangunan awal konsol berkenaan sedang berjalan.



Ramai yang tidak menjangkakan pengumuman berikut kerana Microsoft baru sahaja memperkenalkan konsol Xbox One X pada tahun 2017. Microsoft menegaskan bahawa mereka akan terus komited bagi meletak satu tanda aras baru dalam dunia permainan video global selepas ini.

Pengumuman ini ternyata memberi tamparan kepada pesaing terbesar Microsoft iaitu SONY. SONY sebelum ini telah memaklumkan bahawa tiada pengumuman berkenaan peranti generasi seterusnya konsol Playstation akan dibuat pada persidangan E3 tahun ini.

Sumber