Eksport global logam nadir yttrium dilaporkan tergendala, sekali gus mencetuskan apa yang diuraikan oleh pegawai Jepun sebagai “krisis bekalan dan permintaan”, dengan laporan Financial Times menyatakan bahawa Tokyo berdepan risiko kehabisan bekalan logam kritikal itu dalam tempoh beberapa bulan.
Yttrium merupakan bahan teras yang amat penting dalam pembuatan barangan elektronik pengguna, LED, enjin penerbangan, peralatan pengeluaran semikonduktor, serta pelbagai produk perindustrian lain.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), China menyumbang hampir dua pertiga daripada pengeluaran perlombongan logam nadir dan menguasai 92 peratus daripada hasil pemprosesan tulen global.
“Memang benar bahawa eksport yttrium telah tergendala bukan sahaja ke Jepun tetapi di seluruh dunia, mencetuskan krisis bekalan dan permintaan serta lonjakan harga,” kata seorang pegawai kementerian perindustrian Jepun kepada AFP pada Rabu secara tanpa nama.
“Eksport ke Jepun telah berkurangan, termasuk kelewatan dalam penghantaran, dan jumlah kuantiti global itu sendiri adalah rendah,” kata pegawai tersebut.
Kenyataan berkenaan menyusul selepas laporan Financial Times mendedahkan bahawa bekalan bahan kritikal Jepun itu boleh kehabisan dalam masa “beberapa bulan”.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, pada Julai lalu menyatakan bahawa yttrium adalah “berkurangan di peringkat global” dan merupakan “logam nadir yang amat penting bagi negara kita”.
Berdasarkan data kastam China, eksport yttrium oxide ke Jepun hanya mencatatkan 4,000 kilogram pada September, berbanding 51,000 kilogram bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Pegawai kementerian perindustrian itu berkata Tokyo sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah mengenai sumber mineral kritikal dan logam nadir, termasuk yttrium.
Beijing telah meningkatkan tekanan ke atas Tokyo sejak Takaichi membayangkan pada November lalu bahawa Jepun mungkin campur tangan secara ketenteraan sekiranya berlaku sebarang serangan ke atas Taiwan.
China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak kemungkinan untuk menguasainya menerusi kekerasan.
“China mengenakan kawalan eksport ke atas Jepun mengikut undang-undang dan peraturan, dengan tujuan untuk mengekang cubaan Jepun melakukan ketenteraan semula dan memiliki senjata nuklear,” kata jurucakap kementerian luar China, Mao Ning, dalam satu taklimat harian pada Rabu.
Laporan Financial Times turut menyebut bahawa Jepun telah meminta kerajaan AS dan perniagaan Amerika untuk mendesak China melonggarkan kawalan eksport logam nadir bagi mengelakkan “gangguan teruk kepada industri automotif, pertahanan, dan cip global”.
Menurut akhbar itu lagi, rantaian bekalan pertahanan US amat bergantung pada komponen Jepun yang menggunakan yttrium. – AFP
