Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Cara Mudah Laporkan Individu Merokok Di 28 Kawasan Larangan Merokok

Posted on Oktober 29, 2025Oktober 29, 2025

Perbuatan merokok di tempat awam yang dilarang bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga menjejaskan kesihatan orang sekeliling melalui asap rokok.

Mungkin ada yang masih belum sedia maklum, aktiviti merokok adalah dilarang sama sekali di lokasi-lokasi yang ditetapkan.

Larangan merokok itu itu termasuklah ke atas rokok tembakau, cerut dan rokok elektronik (vape) dan yang berkaitan dengannya.

Secara khususnya, sebanyak 28 lokasi telah diwartakan sebagai tempat larang merokok bermula 1 Januari 2025 iaitu:

  1. Pusat hiburan atau teater, kecuali kasino
  2. Kawasan hospital atau klinik
  3. Lif atau tandas awam
  4. Tempat makan
  5. Kedai berhawa dingin
  6. Bangunan dobi
  7. Bangunan hentian pengangkutan awam
  8. Kawasan lapangan terbang kecuali kawasan atau bilik merokok yang telah diluluskan
  9. Kawasan premis kerajaan
  10. Bangunan Parlimen Malaysia
  11. Mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan sama ada di mana-mana tempat awam atau di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian
  12. Kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi
  13. Kawasan taman asuhan kanak-kanak
  14. Kaunter perkhidmatan awam
  15. Kompleks membeli-belah
  16. Kawasan stesen minyak
  17. Bangunan stadium, pusat kecergasan atau gimnasium
  18. Kawasan kompleks sukan
  19. Bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan
  20. Kawasan perpustakaan
  21. Kafe internet
  22. Kawasan tempat latihan khidmat negara
  23. Bangunan tempat kerja
  24. Kawasan rehat dan rawat kecuali tempat letak kereta awam terbuka
  25. Kawasan taman awam kecuali tempat letak kereta awam terbuka
  26. Di dalam bas sekolah
  27. Di dalam kenderaan awam
  28. Menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi, dan lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri.

Jadi, demi memastikan persekitaran yang lebih sihat dan selamat, orang ramai digalakkan untuk melaporkan jika ada individu yang merokok di kawasan-kawasan tersebut.

Berikut adalah cara mudah untuk melaporkan individu yang didapati merokok di tempat larangan:

1. Layari laman JomLapor – Advokasi Akta 852

JomLapor ialah laman advokasi yang menyokong penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Platform ini memperkasa komuniti untuk menyeru tindakan tegas terhadap kesalahan merokok dan vape melalui bukti fotografi.

Matlamatnya ialah mengurangkan tabiat merokok dan vape, serta menjadikannya tidak lagi lazim di Malaysia, dengan mengajak orang ramai menjadi advokat komuniti dalam usaha melindungi kesihatan awam.

2. Di laman Jom Lapor, pada bahagian Maklumat Asas, terdapat beberapa pillihan laporan yang boleh dibuat berkaitan dengan rokok.

Sebagai contoh, anda boleh buat laporan terhadap individu Merokok di kawasan larangan merokok.

3. Seterusnya, anda menatal ke bawah. Abaikan kotak yang perlu ditanda (kecuali berkaitan). Kemudian, isikan maklumat di dalam ruang kosong Negeri > Nama Kedai / Premis dan klik butang Seterusnya >.

4. Di bahagian Lokasi Kejadian, masukkan Alamat Lengkap lokasi tersebut dan klik butang Seterusnya > setelah selesai.

5. Selepas itu, anda di bawa ke laman Maklumat Tambahan. Di sini anda bolehlah buat karangan pendek berkaitan isu yang dilaporkan. Selesai, klik butang Seterusnya >.

6. Langkah seterusnya, anda diminta untuk memuat naik foto sebagai bukti kejadian. Sekurang-kurangnya, 1 foto berkaitan laporan mesti dmiuat naik untuk membolehkan laporan dibuat. Anda boleh memuat naik sehingga 3 foto di sini.

Setelah selesai muat naik, klik butang Seterusnya >.

7. Akhir sekali, anda semak terlebih dahulu laporan yang ingin dibuat sebelum menghantarnya dengan menekan butang Hantar Aduan.

Melaporkan kesalahan individu yang merokok di kawasan larangan bukan bermakna “menyibuk”, sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab sosial untuk menjaga kesihatan awam.

Setiap laporan anda membantu menguatkuasakan undang-undang dan melindungi hak orang ramai untuk menghirup udara bersih.

Tahukah juga anda bahawa denda  bagi kesalahan merokok di kawansan atau tempat larangan adalah tinggi dan boleh dipenjarakan jika melibatkan kesalahan serius.

Jadi, jika anda melihat sesiapa yang melanggar kesalahan merokok di kawasan atau tempat yang dilarang, sila ambil gambar dan laporkan di JomLapor – Advokasi Akta 852.

Sama-samalah kita jadikan Malaysia bebas asap rokok demi generasi masa depan.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress