Kerajaan Mula Uji Pemberian Subsidi Petrol, Diesel Melalui e-Dompet

Kerajaan sudah mula menguji penjualan bahan api bersubsidi seperti petrol melalui e-dompet (e-wallet) namun tidak didedahkan stesen mana yang terlibat, menurut Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) di Kementerian Kewangan (MoF), Johan Mahmood Merican.

Dalam wawancara bersama BFM, beliau mengakui jika kaedah e-dompet ini dipilih sebagai salah satu pemberian subsidi kelak, ia agak sukar bagi mereka di kawasan pedalaman.

Justeru, kerajaan masih mempertimbangkan beberapa kaedah lain juga dan ujian rintis ini dapat membantu. Fasa ini akan mengambil masa sekitar 6 bulan.

Pun begitu, tidak dikongsikan pula butiran lanjut mengenai mengenai aplikasi e-dompet khusus yang digunakan mahupun pengoperasiannya.

Beliau juga mengatakan antara cabaran pengagihan subsidi kaedah baru ini ialah mereka tidak dapat meniru cara subsidi seperti dilaksanakan untuk penggunaan elektrik.

Hal ini kerana penggunaan elektrik berdasarkan satu meter yang khusus untuk setiap kediaman tetapi untuk bahan api, pengguna bebas membelinya di mana-mana stesen minyak.

Kerajaan sebelum ini menekankan akan mengurangkan perbelanjaan terhadap subsidi dan salah satu langkahnya ialah menarik beberapa 'nikmat' daripada kumpulan T20.

Kata Tengku Zafrul sebelum ini, golongan T20 menikmati subsidi sebanyak RM8 bilion, lebih RM2 bilion daripada B40.

Contohnya, menteri juga sebelum ini berkongsi kementerian merancang untuk menetapkan subsidi bersasar untuk bil elektrik juga yang akan menyaksikan golongan T20 perlu membayar lebih tinggi selepas ini.

Sumber: FMT, BFM,