Kemas Kini Tersedia, Ini Sejumlah Ciri Baharu Dalam iOS 16.1

Apple hari ini telah melepaskan kemas kini iOS 16.1 kepada umum, dengan sejumlah ciri baharu dan penambahbaikan pada sistem operasi iOS 16. Antaranya termasuk ciri iCloud Shared Photo Library , Live Activities dan sebagainya.

Berikut adalah antara ciri baharu yang tersedia pada iOS 16.1.

iCloud Shared Photo Library


Melalui iCloud Shared Photo Library, seramai enam orang boleh berkongsi Photo Library berasingan. Dengan ciri ini, ia membolehkan perkongsian foto dan video terus ke awan (cloud) dalam kalangan ahli tersebut.

Semua ahli dalam iCloud Shared Photo Library boleh menambah, mengedit, favorite, meletakkan kapsyen serta memadamkan foto.



Ini bermakna, pengguna kini mempunyai dua photo library, iaitu Personal Library (sedia ada) dan iCloud Shared Photo Library. Pengguna boleh menukar tetapan paparan sama ada hanya melihat salah satu photo library, atau kedua-dua sekali, serta boleh memilih untuk memuat naik foto ke iCloud Shared Photo Library secara terus daripada kamera.

Tetapan perkongsian secara automatik juga boleh diaktifkan apabila ahli lain dikesan berada berdekatan dengan menggunakan Bluetooth.

Apple Fitness+


Apple Fitness+ kini tersedia walaupun tidak mempunyai Apple Watch, untuk digunakan dengan iOS 16.1 atau tvOS 16.1.



Ini bermakna, pengguna kini boleh melanggan Apple Fitness+ tanpa Apple Watch selepas kemas kini iOS 16.1 dipasang. Apple Fitness+ ditawarkan dengan percubaan percuma selama sebulan serta harga langganan RM19.90/sebulan atau RM119.90/setahun.

Padam Apple Wallet


Apple Wallet merupakan antara aplikasi utama yang dipasang secara terbina (built-in app) pada iPhone. Ia menempatkan kad debit dan kredit untuk Apple Pay, mengendalikan Apple Pay Cash bagi negara tertentu, membenarkan pengguna menyimpan kad loyalty, tiket penerbangan dan sebagainya.



Dengan iOS 16.1, Apple kini membolehkan pengguna untuk memadam atau uninstall Wallet daripada peranti iPhone.

Peratusan Bateri Pada Status Bar




iOS 16.1 menambah peratusan bateri di bahagian ikon bateri dalam status bar pada ‌iPhone‌ XR, ‌iPhone‌ 11, iPhone 12 mini dan iPhone 13 mini, yang sebelum ini tidak menyokong ciri tersebut dalam iOS 16.

Indikator Pengecasan Pada Lock Screen


Indikator pengecasan pada Lock Screen sebelum ini tersedia dengan iOS 15, namun Apple tidak menawarkannya pada iOS 16. Dengan iOS 16.1, indikator pengecasan kini kembali tersedia.



Semasa mengecas ‌iPhone‌, peratusan bateri yang menunjukkan jumlah semasa bateri dicas kini tersedia di bahagian atas skrin. Ini membolehkan penunjuk yang jelas tentang tahap pengecasan dengan hanya melihat pada bahagian Lock Screen tanpa membuka kunci.

Wallet


Perkongsian kunci membolehkan pengguna berkongsi kunci kereta, bilik hotel dan kunci lain dalam Wallet dengan selamat menggunakan aplikasi pemesejan seperti iMessage dan WhatsApp.

{suggest}

Aktiviti Langsung/Live Activities


Aktiviti langsung kini tersedia pada Lock Screen dan ciri Dynamic Island. Aktiviti Langsung merupakan jenis pemberitahuan baharu yang membolehkan pengguna mengikuti sesuatu dalam masa nyata, seperti perjalanan Uber yang semakin hampir, penerbangan, permainan sukan dan banyak lagi.

Baik Pulih Pepijat


Kemas kini ini juga termasuk pembetulan pepijat untuk iPhone termasuk:

  • Perbualan yang dipadamkan mungkin kelihatan dalam senarai perbualan dalam Mesej

  • Kandungan Dynamic Island tidak tersedia apabila menggunakan Reachability

  • CarPlay mungkin gagal disambungkan apabila menggunakan aplikasi VPN


Perlu diketahui sesetengah ciri ini mungkin tidak tersedia untuk semua negara atau peranti iPhone.

Untuk kemas kini iOS 16.1, ianya boleh dimuat turun dan dipasang melalui Settings > General > Software Update bagi model iPhone 8 dan terbaharu yang menjalankan iOS 16.

Gambar utama: 9to5Mac