Kemas Kini iOS 16.2 Dilepaskan, Ini Sejumlah Ciri Baharu Yang Tersedia

Apple hari ini telah mengeluarkan iOS 16.2, kemas kini utama kedua kepada sistem operasi iOS 16 yang dilancarkan pada September. Melalui kemas kini iOS 16.2, ia menawarkan sejumlah ciri baharu seperti sokongan 5G, Apple Music Sing, aplikasi Freeform dan lain-lain.

{suggest}

Berikut disenaraikan antara ciri baharu yang tersedia pada iOS 16.2.

Sokongan 5G


Setelah sekian lama ditunggu-tunggu, khabar gembira buat pengguna di Malaysia sudah tentunya dengan penambahan sokongan 5G melalui kemas kini iOS 16.2.


Freeform


Melalui iOS 16.2, Apple memperkenalkan aplikasi baharu yang membolehkan pengguna menguruskan dan menyusun kandungan secara visual pada kanvas yang fleksibel. Ia memberikan pengguna keupayaan untuk melihat, berkongsi dan berkolaborasi antara iPhone, iPad dan Mac dalam satu tempat.



Dengan menggunakan kanvas di aplikasi Freeform, pengguna boleh menambah fail, imej, nota lekat dan banyak lagi. Terdapat juga alat lukis yang membolehkan pengguna melakar di mana-mana tempat pada kanvas dengan menggunakan jari.

Apple Music Sing




Apple Music Sing merupakan ciri baharu yang membolehkan pengguna berkaraoke dalam Apple Music. Vokal boleh dilaraskan sepenuhnya, yang mana pengguna boleh berduet dengan artis asal, menyanyi solo atau mencampur kedua-duanya.

Lock Screen


Dengan tetapan baharu Lock Screen, ia membenarkan pengguna untuk menyembunyikan wallpaper atau notifikasi apabila paparan Always-On Display diaktifkan pada iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max.



Terdapat juga widget Sleep dan Medicine, dengan masing-masing membolehkan pengguna melihat data tidur serta peringatan dan akses jadual.

Had tetapan AirDrop


Seperti yang dilapor sebelum ini, dengan iOS 16.2, Apple telah memperluas had tetapan AirDrop secara global.



Di bahagian tetapan AirDrop, pilihan bagi "Everyone" telah digantikan dengan "Everyone for 10 Minutes". Ini bermakna, AirDrop akan bertukar kembali kepada "Contacts Only" secara automatik selepas 10 minit bagi mengelakkan permintaan menerima kandungan yang tidak diingini.

Ciri-ciri lain


Kemas kini iOS 16.2 turut menyertakan sejumlah peningkatan dan pembetulan pepijat seperti berikut:

  • Carian dipertingkat dalam Messages, membenarkan anda mencari foto berdasarkan kandungannya, seperti anjing, kereta, orang atau teks.

  • Tetapan Muat Semula dan Tunjukkan Alamat IP membolehkan pengguna Geganti Peribadi iCloud (iCloud Private Relay) menyahdayakan perkhidmatan buat sementara untuk laman web yang khusus dalam Safari

  • Kursor Peserta dalam Nota membenarkan anda melihat penunjuk langsung semasa orang lain membuat kemas kini dalam nota dikongsi.

  • Pengoptimuman Pengesanan Nahas (Crash Detection) pada model iPhone 14 dan iPhone 14 Pro.

  • Membetulkan isu yang menyebabkan sesetengah nota tidak diselaraskan dengan iCloud selepas kemas kini dibuat.


Perlu diketahui, sebilangan ciri yang ditawarkan mungkin tidak tersedia untuk semua negara atau model iPhone tertentu.

Untuk kemas kini iOS 16.2, ianya boleh dimuat turun dan dipasang melalui Settings > General > Software Update > Download and Install bagi model iPhone 8 dan terbaharu yang menjalankan iOS 16.

Gambar utama: MacRumors