Kelakuan Monopoli TnG Ke Atas Sistem Pembayaran Tol Tidak Dikira Melanggar Akta - MyCC

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini menerusi kenyataan media menegaskan bahawa MyCC mengetahui akan isu-isu yang dibangkitkan oleh orang awam termasuk FOMCA serta persatuan lain.

Respon  ini bagi menjawab tuduhan yang dibuat terhadap MyCC yang didakwa gagal menghentikan tingkah laku monopoli Touch 'n Go Sdn. Bhd. dan TnG Digital (TnG).

MyCC menjelaskan, pihak mereka telah mendapati bahawa terdapat salah faham dari FOMCA berkenaan dengan isu monopoli.

Akta Persaingan 2010 (“Akta 712”) secara jelas menggariskan bahawa perusahaan yang monopoli atau dominan dalam sesebuah pasaran tidak membawa kepada pelanggaran.

Namun begitu, perusahaan yang bersifat monopoli atau dominan melanggar Akta 712 sekiranya ia menyalahgunakan kedudukannya di pasaran. Dalam hal ini, MyCC telah mengenalpasti bahawa status monopoli TnG hanya membabitkan sistem pembayaran tol sahaja.

TnG telah menjadi monopoli secara semulajadi berikutan keputusan kerajaan untuk menghapuskan pembayaran tol secara tunai, melalui pewartaan di semua tol di seluruh negara bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di semua tol untuk keselesaan pengguna lebuhraya.

MyCC menyatakan, mereka tidak mempunyai sebarang bidang kuasa dalam isu-isu kepenggunaan antara TnG dan penggunanya. TnG sebagai penyedia perkhidmatan wang elektronik adalah di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) melalui undang-undang dan garis panduan yang berkaitan.

Bagi hubungan antara TnG dan syarikat-syarikat konsensi tol berkenaan pembayaran tol, hal ini adalah di bawah seliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Namun begitu, MyCC tetap menegaskan bahawa isu-isu berkaitan TnG yang dilaporkan ke MyCC adalah melibatkan isu kepenggunaan sahaja berdasarkan penilaian yang menyeluruh yang telah dilaksanakan oleh MyCC yang mana ia jelas menunjukkan bahawa meskipun TnG merupakan monopoli bagi sistem pembayaran tol, kelakuan mereka tidak dikira sebagai pelanggaran Akta 712.

Baca kenyataan penuh media MyCC di pautan ini.

{suggest}