Kapasiti Bateri Pixel 4a 5G Didedahkan Dengan 3800mAh, Pixel 5 Pula 4000mAh

Seperti yang diacahkan oleh Google, terdapat 2 lagi telefon Pixel yang akan diumumkan iaitu Pixel 4a 5G dan juga model paling premium iaitu Pixel 5.

Terkini, terdapat maklumat berasal dari Reddit (sekarang sudah dipadam) yang memperlihatkan rekaan dan juga spesifikasi penting kedua-dua telefon tersebut.

Ia dipamerkan sebelah menyebelah yang menunjukkan perbezaan saiz kedua-dua telefon itu manakala rekaan pula adalah sama.



Perkongsian dari Reddit itu juga turut menyertakan beberapa maklumat seperti saiz bateri. Untuk Pixel 4a 5G, ia akan memuatkan sebanyak 3,800mAh manakala Pixel 5 pula pada 4,000mAh.

Kedua-dua telefon akan dijana oleh cip Snapdragon 765G namun RAM pada Pixel 4a 5G adalah 6GB sedangkan Pixel 5 pula 8GB.

Apa yang menarik Pixel 4a 5G masih lagi mengekalkan bicu audio 3.5mm. Ia tidak terdapat pada Pixel 5. Tambahan lagi kedua-dua telefon menggunakan bahan binaan plastik namun untuk Pixel 5 ia akan lebih diperkemas seumpama kemasan premium.

Kedua-dua Pixel 4a 5G dan Pixel 5 akan diperkenalkan pada penghujung bulan hadapan (September). Google sudah mengesahkan harga jualan Pixel 4a 5G akan bermula 499 USD, namun tidak pula menyatakan harga jualan untuk Pixel 5.

Sumber: XDA, 9to5Google

 

Berkaitan