Kajian Google: 3 Cara Yang Paling Popular Digunakan Pengodam Dalam Mencuri Data Pengguna

Teknologi sememangnya memudahkan namun disebalik itu, masih ada perkara-perkara yang perlu dititik beratkan dan salah satu daripadanya adalah ancaman siber.

Pelbagai cara serta kaedah telah dicipta pengodam dalam usaha untuk mencuri informasi penting pengguna dan tiga contoh popular adalah phishing, keylogger, dan kebocoran maklumat oleh pihak ketiga. Melihat kepada itu, Google ingin mengetahui lanjut kaedah mana yang kerap digunakan pengodam dengan melakukan analisis pada pasaran gelap dalam talian dari Mac 2016 sehingga Mac 2017.

Berdasarkan kajian yang dibuat daripada 3 kaedah serangan siber itu, Google melihat phishing dan kebocoran maklumat sebagai ancaman terbesar dunia siber.

Didapati sebanyak 3.3bilion data dibocorkan oleh pihak ketiga, 12 juta data dicuri melalui kaedah phishing dan 788,000 data dicuri menerusi kaedah keylogger.

Sejumlah 12% dari rekod yang ditemui menunjukkan alamat emel digunakan sebagai nama pengguna (username) dan 7% dilihat menggunakan kata laluan yang sama pada setiap perkhidmatan dan ini boleh mengundang bahaya.

Selain daripada mengumpul kata laluan serta nama pengguna, serangan phishing dan keylogger juga berupaya mengumpul alamat IP, nombor telefon, nama pengeluar serta model telefon berkenaan yang mana pengodam boleh menyamar menjadi pengguna akaun curi tersebut.

Beberapa langkah perlindungan telah dijalankan berdasarkan hasil kajian yang dibuat supaya 67 juta akaun pengguna kekal selamat dari diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Sumber: Engadget