Jualan Galaxy S20 Lemah, Samsung Salahkan Wabak Covid-19

Seperti yang diketahui umum, wabak Covid-19 memberikan impak kepada industri teknologi. Samsung secara tidak langsung turut terkesan melalui jualan Galaxy S20 yang diumumkan awal Feb lalu.

Menurut 9to5Google, Samsung hanya menjual sebanyak 70,800 unit Galaxy S20 sahaja pada hari pertama jualannya di Korea Selatan. Jumlah ini adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan jualan 140,000 unit Galaxy S10 pada tahun 2019.

Ia lebih teruk jika mahu dibandingkan dengan Galaxy Note 10 yang menjual sebanyak 220,000 pada Ogos 2019.

Samsung mempunyai alasan disebalik kekurangan unit jualan itu. Mengikut syarikat itu, ia adalah kesan dari wabak Covid-19 dan juga diskaun peranti pintar lain.

"Jualan menurun sangat mendadak disebabkan harga diskaun peranti baru lain yang dilancarkan dan juga bilangan pengunjung yang berkurang ke kedai jualan disebabkan takut dengan wabak itu,". Jelas wakil dari Samsung.

Samsung bukan satu-satunya syarikat yang mengatakan wabak Covid-19 memberi impak terhadap prestasi kewangan. Baru-baru ini Apple juga mengumumkan pendapatan mereka juga tidak mencapai jangkaan yang sepatutnya untuk suku pertama tahun 2020.

Sumber: 9to5google

Berkaitan