Jika Anda Masih Setia Menggunakan Windows 7...

Mungkin masih ada yang keberatan nak menggunakan Windows 10.


Seperti semua sedia maklum, Microsoft telah menamatkan secara rasminya sokongan ke atas sistem operasi Windows 7 pada 14 Januari 2020 lalu.

Sistem operasi komputer itu yang pertama kali ditawarkan kepada pengguna diseluruh dunia pada 22 Oktober 2009 ditamatkan selepas berkhidmat hampir 12 tahun kepada beratus juta pengguna di seluruh dunia.

Jadi, sudah tiba masanya pengguna untuk beralih kepada sistem Windows 10 yang lebih moden.

Tetapi, walaupun Microsoft telah menamatkan sokongan Windows 7,  mungkin masih ada dikalangan pengguna komputer yang masih setia dengan sistem lapuk ini.

Malah dianggarkan sekitar 30% pengguna komputer di seluruh dunia masih lagi menggunakan sistem Windows 7 pada komputer mereka.

Persoalannya sekarang adalah, adakah anda patut terus menggunakan Windows 7 di tahun 2020 dan pada masa depan?

Windows 7 sudah tidak selamat 


Gesaan kepada pengguna sistem Windows supaya segera menaik taraf kepada versi Windows 10 adalah kerana faktor keselamatan.

Para penyelidik keselamatan komputer dari seluruh dunia telah pun mengeluarkan amaran sejak tahun lalu tentang risiko menggunakan Windows 7.

Sebagai contoh, pihak keselamatan dari Webroot dalam laporan keselamatan bagi pertengahan 2019 lalu mendakwa, aktiviti penggodaman ke atas pengguna sistem operasi Windows 7 telah meningkat mendadak sejak Januari 2019.

Firma pembangun perisian keselamatan komputer dari Kaspersky dan Sophos juga pernah menyuarakan kebimbangan terhadap pengguna Windows 7.

"The widespread use of Windows 7 is concerning... an old unpatched OS is a cybersecurity risk – the cost of an incident may be substantially higher than the cost of upgrading. This is why we recommend that customers migrate to supported versions and ensure that additional security tools are in place during the transition period.” – Alexey Pankratov, Enterprise Solutions Manager, Kaspersky.

Every month that passes you’ve got more and more bugs that criminals have figured out how to exploit. The danger grows quite quickly.” Chester Wisniewski penyelidik keselamatan dari Sophos.

Malah agensi keselamatan siber antarabangsa seperti dari United Kingdom juga menasihatkan supaya pengguna tidak menjalankan sebarang urusan kewangan dan perbankan mahupun e-mel di atas platfom Windows 7.

Penamatan sokongan aplikasi pihak ketiga


Walaupun Microsoft ada memaklumkan bahawa pengguna aplikasi Office 365 di platfom Windows 7 masih akan menerima sokongan kemas kini keselamatan sehingga Januri 2023, tetapi mereka tidak akan menerima ciri-ciri baru yang ditawarkan kepada pengguna Office 365 di platfom Windows 10.

Berikutan isu keselamatan juga, para pembangun perisian pihak ketiga juga mula meninggalkan sokongan aplikasi mereka di platfom Windows 7 secara berperingkat bermula awal tahun ini.

Sebagai contoh, pihak Google telah memaklumkan bahawa mereka hanya akan terus menghantar kemas kini pelayar Chrome kepada pengguna Windows 7 sehingga Julai 2021.

Atau selewat-lewatnya sehingga 15 Julai 2021.

We will continue to fully support Chrome on Windows 7 for a minimum of 18 months from Microsoft’s End of Life date, until at least July 15, 2021.” Google

Pengumuman dari Google ini juga mungkin menandakan pembangun aplikasi pelayar lain yang berasaskan Chromium sepertimana Google Chrome (contoh: Microsoft Edge, Opera, Vivaldi, Brave dan SalamWeb) juga pastinya akan menamatkan sokongan pelayar mereka untuk pengguna Windows 7 tidak lama lagi.

Pembangun aplikasi Adobe Creative Cloud (CC) juga sebelum ini pada tahun 2018 lalu lebih awal memaklumkan kepada pengguna mereka bahawa aplikasi mereka khususnyaversi terbaru Adobe Media Encoder, After Effects, Audition, Character Animator, Prelude, dan Premiere Pro hanya boleh dipasang bersama sistem operasi Windows 10 atau versi terbaru sahaja.

Kesimpulan


Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah, bagi mengelakkan daripada menjadi   mangsa penggodaman berikutan eksploitasi terhadap Windows 7, pengguna digesa supaya menaik taraf sistem komputer mereka kepada Windows 10 yang lebih moden dan selamat daripada pelbagai serangan perisian hasad terkini yang semakin sofistikated.

Malah bermula 15 Januari 2020, Microsoft memaklumkan bahawa pengguna versi Windows 7 Starter, Home Basic, Home Premium dan Professional akan mula menerima mesej yang memaparkan tentang bahayanya penggunaan sistem operasi lapuk tersebut.

Atau jika komputer yang digunakan anda itu sudah pun berusia lebih daripada 7 tahun, mungkin sudah tiba masanya anda mendapatkan model terbaru komputer meja atau komputer riba pada tahun ini yang disertakan bersama sistem operasi Windows 10 di dalamnya.

Jadi anda akan dapat menggunakan ciri-ciri baru yang ada di dalam Windows 10 serta dapat merasai prestasi sebenar dan ciri-ciri moden yang ada pada aplikasi-aplikasi pihak ketiga dengan lebih baik.