SalamWeb - Pelayar Internet Patuh Syariah Pertama Di Dunia Diperkenalkan Di Malaysia

Melayari internet sudah menjadi salah satu aktiviti rutin bagi kebanyakan daripada kita hari ini. Boleh dikatakan setiap daripada kita mempunyai pelayar internet kegemaran kita sendiri.

Antara pelayar popular ialah Google Chrome, Opera Mini, Mozilla Firefox dan banyak lagi. Namun, adakalanya pelayar ini disalahguna bagi melayari laman-laman yang tidak dibenarkan oleh undang-undang dan agama.

Atas alasan itulah, Salam Web Technologies MY Sdn Bhd telah melancarkan pelayar patuh syariah pertama di dunia baru-baru ini.

Pelayar SalamWeb ini adalah merupakan penjenamaan semula bagi pelayar Salam Browser sebelum ini.

Melalui pelayar berkenaan, syarikat yang berasal dari Dubai ini menjanjikan pengalaman pelayaran internet yang lebih selamat dan percuma.

Antara fungsi menarik yang ada pada pelayar ini ialah SalamNews, SalamChat dan SalamSadaqah.



SalamNews mempunyai fungsi yang hampir sama dengan Google News. Ia memaparkan berita-berita tumpuan tempatan dan antarabangsa untuk tatapan pengguna.

SalamChat pula adalah medium bualan yang disediakan untuk pengguna berbincang atau berkenalan sesama mereka.



Menariknya, setiap mesej hanya boleh dibalas oleh pengguna yang berada dalam jarak 1KM sahaja. Ini bermakna pengguna bukan sahaja boleh berkenalan di dunia maya, malah juga di dunia nyata memandangkan mereka berada di lokasi berhampiran.



SalamSadaqah pula memudahkan pengguna yang ingin bersedekah untuk mengenalpasti golongan yang memerlukan.



Selain itu, pengguna juga dapat mengetahui waktu solat seterusnya dan arah kiblat melalui paparan utama pelayar ini. Malah, ia juga akan memaparkan potongan hadis pilihan.

Bagi mereka yang mahukan penggunaan dan bebas daripada pelayaran laman tidak selamat dan lucah, SalamBrowser sememangnya antara pilihan terbaik.



Kami gagal untuk memasuki laman sesawang lucah(untuk tujuan ujian sahaja) menggunakan aplikasi pelayar ini walaupun selepas mengaktifkan VPN.

Bagi anda yang berminat untuk menggunakan pelayar patuh syariah pertama di dunia ini, anda boleh memuat-turun aplikasi mudah alihnya di Google Play Store dan Apple App Store.