Para penyelidik di Jepun baru sahaja mencipta sejarah dengan menghantar satelit kayu pertama dunia ke angkasa. Satelit ini, dikenali sebagai LignoSat, dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Kyoto dan Sumitomo Forestry, dan dilancarkan melalui misi SpaceX ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Tidak lama lagi, ia akan dilepaskan ke orbit Bumi.
Sebenarnya, sebelum ini ia sudah pun dalam perancangan untuk dibuat dan akhirnya kini telah dilancarkan ke angkasa.
Terdapat dua sebab utama mengapa kajian ini dilakukan. Pertama, ini merupakan ujian untuk melihat ketahanan kayu dalam keadaan ekstrem di angkasa lepas. Jika berjaya, pasukan penyelidik merancang untuk membina lebih banyak struktur kayu di angkasa. Profesor Koji Murata dari Universiti Kyoto turut menekankan bahawa penggunaan kayu dalam pembinaan pesawat telah dilakukan pada awal tahun 1900-an, jadi konsep ini seharusnya tidak mustahil untuk satelit.
Menggunakan kayu sebagai bahan satelit mempunyai beberapa kelebihan unik. Dalam ruang vakum angkasa, kayu tidak akan reput kerana tiada air atau oksigen yang boleh merosakkannya. Selain itu, risiko kebakaran adalah sangat rendah, dan kayu juga mampu memberikan perlindungan yang baik terhadap radiasi.
Penggunaan satelit kayu juga dapat membantu mengurangkan masalah sampah angkasa yang semakin meningkat. Berbanding satelit logam yang menghasilkan partikel aluminium oksida berbahaya semasa kemasukan semula ke atmosfera Bumi, ia hanya akan terbakar sepenuhnya tanpa meninggalkan sisa toksik. Menurut angkasawan Takao Doi, penggunaan satelit kayu berpotensi mengurangkan kesan pencemaran angkasa dan mungkin menyebabkan larangan terhadap penggunaan satelit logam pada masa hadapan.
Projek ini merupakan langkah pertama dalam rancangan 50 tahun untuk membina rumah kayu di angkasa, termasuk di Bulan dan Marikh. Semasa artikel ini ditulis Satelit ini telah tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
{suggest}
Sumber: CNN