Pagi ini agak kecoh juga di media sosial apabila dikatakan akaun WhatsApp akan digodam jika anda mengklik Status WhatsApp dari WhatsApp sendiri.
Ia berpunca dari kiriman Facebook Amad Ewan yang memberi kenyataan bahawa menekan status WhatsApp tersebut akan menyebabkan data akaun bank dan peribadi akan digodam.
Ia mendapat perkongsian sebanyak lebih dari 50K yang sudah tentu mencetuskan panik antara pengguna di Malaysia. Beliau juga turut menyertakan video dari berita TV3 sebagai ‘bukti’ apa yang dikatakannya adalah benar-benar berlaku.
Vaksin tidak percaya, budak Amad Ewan sebar maklumat kurang tepat hingga dapat perkongsian sebanyak 51,013 percaya pula. pic.twitter.com/14R3qkIYRf
— Xavier Naxa (@XavierNaxa) January 29, 2021
Kiriman ini telah disalin dan ditampal berleluasa di Facebook dan menimbulkan salah faham lebih-lebih lagi kepada golongan kurang celik dalam dunia IT.
Apa yang sebenarnya terjadi? Perlukah untuk panik?
Okay begini. Awal pagi ini, pihak WhatsApp telah berkongsikan Status mereka dalam aplikasi WhatsApp yang menekankan kepada isu privasi pengguna dan hubungan mereka dengan bapa syarikat mereka Facebook.
Ini adalah diibaratkan sebagai damage control sebelum ini dimana WhatsApp telah mengumumkan bahawa terdapat perubahan polisi penggunaan untuk pengguna mereka.
Apa yang baharu, disebabkan ini merupakan kali pertama pihak WhatsApp berkongsikan Status mereka, terdapat ikon hijau verified di sisi teks.
Ia sebenarnya hanyalah bermaksud itu merupakan Status dari pihak WhatsApp sebenar dan pada masa akan datang, ia membantu pengguna untuk membezakan Status dari pihak WhatsApp sebenar ataupun palsu.
Ikon verified ini banyak digunakan pada laman sosial seperti Facebook, Instagram, dan Twitter yang menandakan ia adalah akaun yang sahih dan boleh dipercayai.
Sebelum ini WhatsApp tidak pernah berkongsikan Status mereka. Jadi sudah tentu, ini sesuatu yang baru dilihat oleh pengguna dan ia mencetuskan perasaan ingin tahu dari manakah datang Status tersebut.
Jadi, berita TV3 itu cerita pasal apa?
Apa yang berita TV3 itu ulas adalah bagaimana orang asing boleh memasuki akaun WhatsApp anda jika anda sewenang-wenangnya memberikan nombor TAC 6 digit kepada mereka. Boleh baca dengan lebih lanjut modus operandi mereka dalam artikel ini.
Nombor ini adalah unik kepada pengguna yang digunakan sebagai sistem keselamatan kukuh pengesahan 2 faktor (2FA).
Jadi, agak menyeleweng juga apa yang dikongsikan oleh Amad Ewan tersebut dan diharapkan pengguna internet tidak mudah untuk berkongsi apa-apa maklumat yang tiada asas kebenarannya.
Jangan risau, akaun WhatsApp anda selamat. Jangan panik walaupun anda sudah tekan Status WhatsApp verified itu.
Ia sama sahaja seperti membuka Status rakan-rakan anda atau kenalan. Tiada beza. Cuma yang lainnya Status ini datang dari pihak WhatsApp sendiri.