Sejak pengumuman konsol PlayStation 5 Pro (PS5 Pro) bulan September lepas, ramai yang tidak berpuas hati dengan penawaran Sony. Ini kerana, ia tidak mempunyai naik taraf yang banyak. Namun, harga jualan naik mendadak. Di Malaysia, harga PS5 (versi lama dan versi ‘slim’) kurang dari RM3 ribu. PS5 Pro pula, harga jualan menghampiri RM4 ribu.
Walau bagaimanapun, ketua pegawai eksekutif PlayStation, Hideaki Nishino mengatakan yang pengguna tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi untuk PS5 Pro. Hakikatnya, konsol tersebut bukanlah ‘next-gen’. Ia masih dalam generasi sama dengan PS5 sekarang.
Saya hanya ingin mengatakan bahawa Pro bukan gen seterusnya. Ia masih dalam generasi PS5. PS5 Pro hadir dengan kesemua ciri yang ada di PS5. Jadi ia adalah pilihan pengguna. Jika mereka mahukan visual lebih cantik, mereka akan mendapatkannya (PS5 Pro). Jadi kami mahu menyediakan pilihan untuk pengguna dalam konsol generasi ini, itulah yang kami lakukan.
PS5 Pro disasarkan kepada pengguna yang mahukan kualiti grafik lebih baik dan pada masa yang sama, dapat dimainkan dengan kadar bingkai lebih lancar. Tambahnya, semasa PS4 Pro satu ketika dahulu, sekitar 20% pengguna memilih versi Pro.
Selain itu, beliau juga mengatakan yang PS5 Pro sebenarnya sudah dalam rancangan pembangunannya sebelum PS5 dilancarkan lagi. Ada juga masa yang mereka tidak pasti sama ada mahu menawarkan versi Pro atau tidak. Ini kerana teknologi berkembang dengan sangat pantas.
Telefon pintar baharu pun dilancarkan setiap tahun. Perkakasan PC pun dikemas kini setiap tahun. Bagi Sony, mustahil untuk mereka mengeluarkan konsol setiap tahun.
Adakah anda setuju dan boleh menerima apa yang dinyatakan CEO PlayStation? Jika difikirkan balik, pengguna tidak akan marah sekiranya harga jualan tidak “melampaui batas”.
{suggest}
Sumber: variety