iOS Dan iPadOS 15.5 Dilepaskan, Ini Apa Yang Baharu

Setelah versi Beta-nya diuji beberapa minggu lalu, akhirnya iOS 15.5 dan iPadOS 15.5 versi stabil dilepaskan untuk semua pengguna sejak awal pagi tadi.

Dengan saiz tidak mencecah 1GB melalui OTA (lebih 5GB melalui iTunes) , ini bukanlah kemas kini besar dengan pelbagai perkara baharu. Bagaimanapun, di bawah adalah antara ciri dan fungsi baharu hadir bersamanya.

Universal Control kini bukan lagi dalam fasa ujian sebaliknya secara rasmi sedia digunakan semua pengguna yang mengemas kini ke iOS 15.5.

Bagi pengguna iPhone SE (2022), Apple mengatakan ia menyelesai isu peranti mati secara tiba-tiba.

Anda kini boleh menambah lokasi sensitif dalam Photo Memories. Justeru, gambar-gambar yang diambil di lokasi ini tidak akan 'diungkit' dalam Memories. Ini adalah salah-satu ciri yang mengutumakan privasi pengguna.


Apple Cash yang masih belum disediakan di Malaysia juga menerima ciri baharu dengan "Send" dan "Request".

Untuk sesetengah negara seperti Australia, Canada, New Zealand dan UK, sebuah ciri keselamatan di Messages juga kini hadir.

Dengan ini, sistem akan mengesan imej lucah dalam mesej yang keluar masuk peranti individu bawah umur. Jika mereka menerima imej tidak senonoh, gambar tersebut akan dikaburkan dan diberi pandauan.

Manakala jika anak-anak ini pula cuba menghantarnya, iPhone akan memberi amaran untuk tidak melakukannya.

Bagi aplikasi Podcasts pula, pengguna boleh menukar tetapan bagi menguruskan storan dengan lebih baik dengan memadamkan episod secara automatik.

Ini barangkali menjadi versi antara yang terakhir sebelum iOS 16 diumumkan Jun ini dan lancar pada September kelak.

Baca juga: