iOS 12 Diperkenalkan Pada WWDC 2018 - Ini Perkara Yang Anda Perlu Tahu Berkenaannya

Apple yang terkenal dengan peranti telefon pintar iPhone kini sedang mengadakan satu persidangan yang mengumpulkan para pembangun bagi produk-produk keluaran mereka di California, USA. Mereka telah mendedahkan pelbagai perancangan mereka pada masa hadapan semasa program ini berlangsung.

Antara yang disentuh semasa hari pertama persidangan semalam (4 Jun) ialah berkenaan dengan kemaskini terbaru bagi sistem operasi mereka, iOS 12. Selain iOS, sistem operasi lain seperti tvOS dan MacOS juga akan menerima kemaskini terbaru menurut pihak Apple.

Bercakap mengenai iOS 12, terdapat beberapa fungsi dan ciri baru yang menarik bakal dinikmati oleh pengguna peranti iPhone dan iPad tidak lama lagi. Ia termasuk fungsi Memoji, notifikasi yang telah dikategorikan serta panggilan video FaceTime secara berkumpulan.



Berkaitan dengan fungsi Memoji, ia boleh dikatakan sebagai satu naiktaraf bagi fungsi animoji yang tersedia pada peranti iPhone X. Melalui fungsi ini, pengguna boleh menghasilkan satu avatar 3D yang kelihatan seperti diri mereka sendiri. Fungsi ini dikatakan menyerupai fungsi AR Emoji yang diperkenalkan Samsung pada Galaxy S9. Namun berbanding AR Emoji yang membenarkan avatar bagi keseluruhan tubuh dihasilkan, Memoji cuma dapat menghasilkan avatar bagi bahagian wajah sahaja tanpa tubuh badan.



Bagi fungsi terbaru yang berkaitan dengan notifikasi berkumpulan pula, pengguna iOS tidak akan dipaparkan dengan senarai panjang notifikasi pada lock screen mereka lagi selepas ini. Ini kerana dalam kemaskini terbaru itu nanti, notifikasi pada lock screen berkenaan akan dikumpulkan mengikut kategori yang tersendiri. Sementara itu, Siri juga akan membantu anda dalam mencadangkan mana-mana notifikasi daripada satu-satu aplikasi yang boleh anda keluarkan daripada lock screen berdasarkan kadar penggunaan.



Manakala bagi FaceTime berkumpulan pula, anda kini boleh mengadakan panggilan video secara beramai-ramai sehingga 32 orang. Tambahan pula, dengan sambungan sedia ada di antara fungsi FaceTime dan iMessage, anda kini boleh memulakan sesi FaceTime melalui aplikasi iMessage. Pengguna juga diberi pilihan untuk mengaktifkan beberapa ciri menarik seperti Memoji atau sticker semasa membuat panggilan video melalui FaceTime.



Selain daripada tiga fungsi terbaru ini, kemaskini iOS 12 turut akan membawa kemaskini untuk beberapa aplikasi dan fungsi sedia ada seperti Do Not Disturb dan iBooks. iBooks akan dinamakan semula sebagai Apple Book pada kemaskini iOS 12 ini. Bagi prestasi peranti pula, Apple telah memberi fokus untuk meningkatkan kualiti prestasi kepada dua kali ganda lebih baik. Penggunaan CPU juga akan dipertingkat bagi memberi prestasi terpantas, dan akan diturunkan secara optimum apabila penjimatan perlu dilakukan.

Program persidangan yang dikenali sebagai Apple Worldwide Developers Conference (WWDC) 2018 ini akan berlangsung sehingga 8 Jun ini. Dan tentunya banyak lagi pemberitahuan berkenaan produk Apple akan disampaikan sepanjang tempoh tersebut. Sama-sama kita nantikan.