Platform ukur aras seperti AnTuTu Benchmark, Geekbench, 3DMark dan lain-lain kebiasaannya menjadi metrik untuk mengukur prestasi telefon pintar.
Di China, terdapat satu platform ukur aras popular dinamakan Master Lu yang kurang popular di luar negara mereka.
Namun begitu, selalunya penyenaraian dalam ukur aras itu mendapat perhatian ramai disebabkan sesetengah model itu hanya untuk negara China sahaja menimbulkan minat kepada komuniti telefon pintar.
Menerusi laporan terbaharu Master Lu, ia telah menyenaraikan telefon pintar paling lancar untuk digunakan. Lancar dalam konteks ukur aras ini berkait rapat dengan prestasi, perkakas dan juga optimasi sistem operasi.
Menariknya, ada sesetengah model telefon andalan yang disenaraikan terletak di bawah dan hujung carta.
Untuk ukur aras Master Lu ini, Black Shark 4S Pro menjadi telefon pintar paling lancar dengan markah 204.69. Antara faktor utama sudah tentu ia adalah sebuah telefon gaming dan sudah dioptimasikan dengan kepantasan sistem.
Menariknya, telefon yang disenaraikan selepas Black Shark 4S adalah realme Q3S dan OPPO K9S adalah kedua-duanya merupakan telefon kelas pertengahan.
Kedua-dua telefon ini mempunyai ranking lebih tinggi dari realme GT Neo 2T yang merupakan telefon kelas andalan. Ini mungkin disebabkan realme GT Neo 2T menggunakan cip MediaTek Dimensity 1200 yang bukanlah cip paling berkuasa setanding dengan Snapdragon 888.
Sebuah lagi model Black Shark muncul di tempat kelima iaitu Black Shark 4S. Berbanding model Pro yang berada pada tempat pertama, model 4S biasa hanya menggunakan Snapdragon 870.
Tempat keenam dan ketujuh masing-masing dibolot oleh adik beradik Redmi Note 11 Pro. Kedua-dua telefon menggunakan cip MediaTek Dimensity 920 5G serta skrin 120Hz. Apa yang membezakan keduanya adalah kamera, kapasiti bateri, dan juga pengecasan pantas.
OnePlus 9RT membuat kemunculan pada tempat kelapan, namun sedikit pelik kerana telefon ini adalah telefon andalan dengan cip Snapdragon 888, namun berada pada bawah carta. Di China, OnePlus menggunakan ColorOS bukannya OxygenOS seperti model global. Mungkin penggunaan ColorOS menjadi faktornya?
Di tempat kesembilan dan kesepuluh, vivo T1 dan HONOR X30i hadir sebagai wakil kelas pertengahan dari vivo dan HONOR. Masing-masing dikuasakan oleh Snapdragon 778G dan MediaTek Dimensity 810 5G.
Melihat kepada ranking oleh Master Lu, ia menunjukkan agak banyak telefon kelas pertengahan yang lebih lancar berbanding kelas pertengahan. Menurut platform Master Lu, tidak semestinya jika telefon itu menggunakan combo Snapdragon 888+LPDDR5+UFS3.1, ia akan mendapat markah yang tinggi.
Segalanya bergantung dengan tahap optimasi sistem perisian. Ada hardware power pun tak guna kalau sistem operasi sendu.
Rujukan: GizmoChina, MyDrivers
Baca lagi:
- Ada Aplikasi Dikesan Sasar Maklumat Bank Rakyat Malaysia
- Nampaknya Motorola Yang Pertama Akan Lancar Telefon Dengan Snapdragon 8 Gen 1
- Snapdragon 8 Gen 1 Diperkenal, Cip 4nm Lagi Padu Daripada Snapdragon 888