Ini Sebab Kebanyakan Telefon Dilancarkan 2022 Masih Guna Android 11

Google melancarkan generasi terbaru, Android 12 pada Oktober tahun lalu. Terdahulu, Android 11 dirasmikan pada September 2020.

Namun, seperti biasa pengeluar telefon selalunya mengambil masa beberapa bulan sebelum melepaskan versi Android terbaru pada model keluaran mereka.

Dalam tahun ini pun, perkara sama terus berlaku di mana telefon yang dirasmikan selepas beberapa bulan Android 12 dilancar masih hadir dengan Android 11 dari dalam kotak.

Setiap jenama mengadaptasi Android dengan antara muka masing-masing


Anda pasti pernah dengan nama MIUI, One UI, ColorOS, OxygenOS, OrigisOS, Realme UI dan lain-lain. Ia sering diiklankan sebagai sistem operasi namun secara teknikalnya bukanlah sistem operasi tetapi antara muka.

Antara muka, interface atau juga sering dipanggil skin ini ialah apa yang pengguna lihat dan guna pada telefon mereka. Ia dipanggil skin kerana ia seperti berasaskan sistem operasi Android namun pengeluar mengubah luarannya sahaja iaitu dari segi antara muka.

Kapsyen: Control center MIUI 13 yang masih sama seperti MIUI 12.5


Seperti anda dapat lihat sendiri, telefon daripada setiap jenama hadir dengan rekaan visual berbeza seperti talam notifikasi, susunan Tetapan, peletakan butang, antara muka Kamera, ciri tambahan seperti animasi pengimbas cap jari dan lain-lain.

Secara dalamannya, operasi di belakang tabir kesemua telefon Android lebih kurang sama dasarnya tetapi antara mukanya seperti apa yang dilihat pengguna sahaja yang diubah suai oleh pengeluar mengikut konsep dan rekaan masing-masing.

Mengapa ia mengambil masa lama sedangkan masih guna Android?


Hal ini kerana pengeluar seperti Samsung, Huawei bukan sahaja perlu mengubah suai antara muka mengikut acuan baharu tetapi dari segi hubungan antara perisian (aplikasi, antara muka) dan perkakasan (hardware seperti kamera, antena) juga perlu dipastikan berfungsi.



Pengeluar menerima kod asas (AOSP) Android 12 beberapa bulan sebelum pelancarannya. Kemudian, mereka perlu memastikan ia serasi dengan cip dipakai peranti, berfungsi dengan antara muka dan sebagainya.

Pelbagai ujian dan perubahan dilakukan demi memastikan telefon yang sama masih terus berfungsi 100% seperti pada Android sebelumnya.
Proses memadankan Android baharu dengan antara muka dan peranti mereka inilah yang mengambil masa sehingga berbulan-bulan, terkadang sehingga setahun.

Selain masa, tenaga dan wang juga diambil terlalu banyak dalam proses ini kerana setiap pengeluar mempunyai terlalu banyak model untuk dinaik taraf.

Disebabkan faktor kewangan inilah juga sebab tidak semua model mendapat kemas kini ke Android terkini dan hanya model kelas tinggi sahaja sering diberi perhatian.

Perkara ini bukan hanya terjadi pada model baharu  tetapi juga sama pada peranti sedia ada lantas memberi impak pada garis masa naik taraf peranti.

Sumber: Reddit, Deccan Chronicle

Baca juga:

Berkaitan