Ini Mengapa Telefon Baru Huawei Tak Sokong Rangkaian 5G

Huawei baru-baru ini telah melancarkan Mate50 Pro bahkan telah mula dijual di Malaysia. Antara keistimewaan diiklankan dengan agresif oleh Huawei ialah ketahanan paparan dengan kaca Kunlun dan sokongan aplikasi Google (bukan GMS sepenuhnya).

Abaikan tentang GMS. Isu lain yang besar ialah telefon-telefon 'flagship' ini tidak mempunyai sokongan terhadap rangkaian 5G. Ya, telefon kelas andalan yang dilancarkan dalam 2022 dengan harga yang tinggi, tidak sokong 5G.


Mei 2019 jadi detik hitam buat Huawei


Imbas kembali, Donald Trump sewaktu menjadi Presiden AS telah meluluskan undang-undang yang antaranya menyekat syarikat semikonduktor asing daripada menjual cip yang dibangunkan dengan teknologi AS, tanpa lesen.

Huawei, ZTE antara jenama yang dimasukkan ke dalam Senarai Entiti yang mana mewajibkan syarikat-syarikat yang mahu berurusan dengan Huawei mendapatkan lesen daripada kerajaan AS terlebih dulu.

Antara punca Huawei disenarai hitam ialah kerana dakwaan hubungan rapatnya dengan kerajaan China di mana ada yang mengatakan Huawei dalam diam mengintip atau memberikan data pengguna kepada kerajaan. Huawei telah menafikan tuduhan ini.


Huawei hadapi isu dengan pembekalan cip pemprosesan


Pertama sekali, anda perlu faham bahawa sokongan terhadap 5G bergantung besar pada perkakasan (hardware) iaitu modem pada cip pemprosesan.

Jika anda ingat, Huawei pernah mengeluarkan cip sendiri ialah Kirin HiSilicon. Cip ini dikeluarkan oleh TSMC.

Namun, selepas sekatan AS terhadap Huawei, TSMC yang mempunyai kilang di AS juga tidak lagi dibenarkan mengeksport cip pada syarikat China itu.

MediaTek dan syarikat semikonduktor lain turut dilarang sama kerana Huawei berada dalam Senarai Entiti.


Kirin dihentikan September 2020


Setahun berlalu, Huawei mengesahkan bahawa cip Kirin tidak lagi dapat dihasilkan, mulai 15 September 2020.

Hal ini kerana Kirin bergantung pada perisian daripada syarikat AS seperti Cadence Design Systems atau Synopsys untuk mereka bentuk cip lalu diberikan pada TSMC untuk dikilangkan, yang mana turut menggunakan peralatan daripada syarikat AS.

Oleh itu, tiada jalan untuk Kirin terus dikeluarkan kerana masing-masing disekat.


Macam mana Qualcomm boleh lepas?


Qualcomm secara terang-terangan ialah syarikat dari Amerika Syarikat. Sudah tentulah ia dilarang daripada menjual cip pada Huawei, bukan?

Tapi kerajaan AS kemudian memberi kelulusan untuk Qualcomm berurus niaga dengan Huawei. Tapi, ia hadir dengan syarat-syarat tertentu.

Dalam siri Huawei P50, Mate50, cip Snapdragon daripada Qualcomm telah dipilih untuk menjana telefon-telefon andalan ini.

P50 contohnya menggunakan Snapdragon 888 yang menyokong 5G.


5G sebagai syarat


Tetapi, antara syarat untuk perniagaan Qualcomm-Huawei ini dibenarkan ialah Qualcomm tidak boleh menjual/sertakan modem 5G kepada Huawei.

Cip dibekalkan pada Huawei sudah dinyahkan 5G yang sepatutnya hadir bersama. Jadi, Huawei menerima cip canggih seperti Snapdragon 8+ Gen 1 tapi tidak disertakan modem 5G.

Sebab itulah telefon Huawei pascasekatan AS tidak menyokong 5G lagi sehingga hari ini.
"Disebabkan sekatan AS, telefon baru baru kami tidak boleh menjalankan sambungan 5G walaupun kami tentunya peneraju global dalam teknologi 5G," kata Richard Yu selaku CEO Huawei.

{suggest}


Sampai bila telefon Huawei tak ada 5G?


Huawei dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan 5G pada telefon mereka.

Antaranya ialah dengan memperkenal casing berasingan yang apabila dipasang bersama telefon, ia dapat menggunakan rangkaian 5G.

Dijangka Huawei akan bawakan telefon 5G mereka dalam tahun ini juga, tetapi pastinya tidak menggunakan cip Snapdragon.




Sumber: FT, VentureBeat, Nikkei Asia, ,