Salah satu kejutan atau inovasi yang kita dengar dalam industri telefon pintar pada tahun 2023 ini penggunaan titanium sebagai bahan untuk bingkai peranti.
Walaupun ini adalah satu perkara baharu tetapi banyak jam tangan pintar andalan (flagship) sudah mula memanfaatkan salah satu logam terkuat dunia itu seperti Apple Watch Ultra, Samsung Galaxy Watch5 Pro, jam tangan Garmin serta Suunto.
Selain itu, beberapa siri telefon pintar akan datang juga dilaporkan hadir dengan bingkai titanium seperti siri iPhone 15 Pro, Samsung Galaxy S24 Ultra, Xiaomi 14 dan lain-lain.
Untuk pengetahuan anda, logam titanium mempunyai pelbagai kelebihannya apabila ia dimanfaatkan dalam penghasilan telefon pintar.
Kuat dan Tahan Lasak
Titanium adalah salah satu logam terkuat di dunia dan ia merupakan salah satu bahan utama untuk menghasilkan kenderaan kalis peluru.
Berbanding aluminium yang standard, titanium mempunyai ketahanan yang lebih tinggi dalam situasi ujian jatuh, tekanan atau pun impak.
Jadi, titanium dalam sesebuah peranti dapat menguatkan lagi ketahanan dan jangka hayatnya.
Ringan
Selain lebih kuat, titanium juga sebenarnya salah satu logam yang ringan. Anda jangan terkejut jika peranti pada masa akan datang bukan sahaja lebih ringan tetapi juga jauh lebih kuat.
Tidak lupa juga, peranti yang ringan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan positif kepada pengguna.
Tahan Kakisan
Titanium adalah logam yang mempunyai ketahanan tinggi terhadap kakisan (corrosion). Ini merupakan ciri yang sangat penting ketika berada dalam situasi persekitaran yang ekstrem dalam jangka waktu yang lama.
Selain itu, tahan kakisan dapat menjamin dan mengekalkan struktur binaan sesebuah peranti itu.
Prestasi Antena Lebih Baik
Untuk pengetahuan anda, logam ini mempunyai rintangan elektrik yang rendah dan ia sangat penting dalam mendapatkan prestasi signal yang baik seperti bluetooth, selular dan Wi-Fi.
Sifat titanium ini dapat menjamin peningkatan dari segi kualiti penerimaan dan kekuatan isyarat dalam sesebuah telefon pintar.
Pelesapan Haba
Titanium adalah salah satu logam yang mempunyai sifat konduktiviti haba yang baik. Dalam tugasan berat seperti gaming atau penstriman video, telefon pintar cenderung untuk menghasilkan haba.
Bingkai titanium mampu membantu dalam pelesapan haba yang efisien dan cekap. Secara tidak langsung, ia dapat mengelakkan risiko haba yang ekstrem dan isu prestasi.
Kesimpulan
Walaupun titanium menawarkan pelbagai kelebihan yang baik berbanding logam aluminium yang standard, logam ini juga mempunyai beberapa kekurangan.
Secara umum, titanium mempunyai kos penghasilan yang agak tinggi dan kesukaran dalam pemprosesannya. Oleh itu, penggunaan logam titanium ini berkemungkinan besar hanya boleh diakses pada peranti kelas premium andalan sahaja.
{suggest}