Ini Gambar Pertama Bumi Dari Angkasa Lepas, Diambil 76 Tahun Yang Lalu

Siapa sahaja yang tidak pernah melihat gambar bumi. Buka sahaja telefon pintar, buat carian 'bumi' di Google, terus terpapar hasil gambar atau lakarannya.

Namun, tahukah anda bahawa gambar bumi pertama yang diambil dari angkasa lepas adalah pada 76 tahun yang lalu?

Pada tanggal 24 Oktober 1946, tarikh ini merupakan detik sejarah buat dunia di mana ia merupakan hari manusia melihat rupa bumi buat pertama kali.

Walaupun Soviets adalah yang pertama melancarkan satelit ke orbit tetapi para saintis dan penyelidik dari White Sands, New Mexico yang mengambil gambar bumi pertama dari angkasa.

Sebenarnya, selepas tamatnya perang dunia kedua, negara-negara besar sudah mulakan inovasi dan bukan memfokuskan perang senjata semata-mata. Mereka ingin memulakan penjelajahan angkasa atau "Space Race".

Berbalik pada gambar bumi pertama, penyelidik dari Amerika Syarikat tadi memperoleh roket Nazi V-2 dan membawa balik ke negara mereka. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk menjelajah dan mengetahui tentang angkasa.

Setelah itu, dua penyelidik - J. Allen Hynek dan Clyde Holliday mendapati bahawa jika roket tersebut diletakkan kamera, ia pasti memberikan sesuatu yang bernilai dalam dunia sains.

Jadi, Holliday membuat sedikit pengubahsuaian pada kamera video DeVry 35mm agar ia tahan lasak semasa dilancarkan dan kembali ke bumi nanti.



Beliau turut mencipta filem kamera yang khas dan filem itu dilindungi di dalam kotak besi yang setebal 1 inci. Selain itu, beliau juga menggunakan motor elektrik 24V yang diambil daripada komputer B-29 machine gun director system bagi menggantikan motor spring biasa yang ada dalam kamera.

Selepas selesai membuat modifikasi kamera, ia kemudian diletakkan ke dalam satu lagi kotak yang jauh lagi tebal. Sebagai maklumat tambahan, filem yang digunakan kamera ini adalah dari Kodak Super XX dengan tetapan - 4fps kadar bingkai, aperture f5.6 dan shutter speed 1/50.

Pada 24 Oktober 1946, roket V-2 dilengkapi kamera yang diubah-suai Holliday akhirnya dilancarkan dari New Mexico. Roket yang dilancarkan itu mengambil masa beberapa minit untuk mencapai ketinggian 104.6 km dari bumi. Selepas kehabisan bahan api, ia pun jatuh semula ke bumi.



Bagaimanapun, mereka mengambil masa satu hari untuk mendapatkan kembali kamera tersebut. Lensa dan bateri sudah pun hancur tetapi filem kamera masih selamat.



Dengan ini, gambar bumi pertama yang tidak pernah dilihat manusia akhirnya dapat diperlihatkan. Seperti yang anda jangka, gambar ini hanyalah dalam bentuk hitam putih sahaja memandangkan teknologi gambar atau video berwarna masih belum wujud.



Tambahan lagi, melalui pelancaran roket dengan kamera ini juga, ia membuktikan bahawa satu hari nanti kapal terbang, peluru berpandu atau roket boleh dilengkapkan dengan kamera. Secara tidak langsung, ia membolehkan mereka untuk membuat 'tinjauan' ke negara-negara lain.

Selepas detik bersejarah itu juga, lebih daripada 1000 gambar yang diambil dari angkasa dalam tempoh tahun 1946 hinggalah tahun 1950. Malah, ada gambar yang diambil 160.9 km dari bumi.

Pada zaman moden ini, fotografi dilihat penting dalam dunia penjelajahan angkasa. Menerusi gambar, banyak perkara yang boleh dikaji. Jadi, tidak hairanlah Nasa membangunkan satu teleskop paling berkuasa, iaitu Teleskop James Webb.

Rujukan: space centre, APL

Berkaitan