Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Ini Apa Yang Anda Tidak Boleh Lakukan Dengan Apple Pay Di Malaysia

Posted on Ogos 9, 2022Oktober 23, 2022

Platform media sosial riuh hari ini dengan rasminya Apple Pay di Malaysia. Setakat ini, hanya 3 penyedia perkhidmatan yang menyokong kad mereka dengan Apple Pay iaitu Maybank, Ambank dan Standard Chartered.

Sementara Maybank menyokong semua kad Visa dan Mastercard-nya, Ambank pula terhad untuk kad kredit.

Untuk AMEX atau American Express, ia akan hadir selepas ini namun tidak didedahkan Apple bila.

Ramai sudah cakna kelebihan dan bagaimana Apple Pay berfungsi. Tapi, mungkin ada juga keliru apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan dengan Apple Pay.

Kita bongkar apa pula batasan Apple Pay.

Boleh saya masukkan apa-apa kad debit/kredit ke dalam Wallet?

Tidak.

Hanya bank atau pengeluar kad yang bekerjasama untuk Apple Pay saja. Buat masa ini, kad debit dan kredit Maybank, kad kredit Ambank dan Standard Chartered.

Kad debit/kredit CIMB, Hong Leong, HSBC, Bank Islam, BSN dan selain 3 nama dalam perenggan atas tidak boleh dipautkan dengan Wallet dan Apple Pay.

Adakah e-dompet seperti TNG eWallet, Boost sama dengan Apple Pay?

Tidak.

e-Dompet bermakna mereka mempunyai sistem sendiri di mana kita perlu masukkan wang ke dalamnya.

Aplikasi Wallet atau Apple Pay tidak menyimpan duit anda. Ia bertindak sebagai dompet digital yang menyimpan data kad debit/kredit anda. Ia seolah-olah perantara atau medium saja untuk anda benarkan transaksi berlaku.

Aplikasi Wallet dan Apple Pay bukan e-wallet atau bank.

Bolehkah pengguna Apple Pay transfer wang pada pengguna Apple Pay lain?

Tidak.

Sebuah lagi perkhidmatan berkaitan iaitu Apple Cash membenarkan transaksi ini namun ia tidak tersedia di Malaysia.

Boleh guna Apple Pay untuk keluarkan duit dari ATM?

Tidak.

Hal ini kerana Wallet dan Apple Pay tidak mengeluarkan kad fizikal. Ia hanya bertindak menyimpan kad anda dalam peranti untuk pembayaran tanpa tunai.

Bolehkah saya pindahkan wang daripada Apple Pay masuk ke akaun bank?

Tidak.

Apple Pay hanya bertindak sebagai orang tengah atau “pintu” atau “kunci” yang membenarkan transaksi berlaku. Ia tidak menyimpan wang anda seperti e-dompet atau bank.

Beza Apple Pay dan Apple Cash?

Apple Pay benarkan pengguna transaksi tanpa tunai untuk kad debit, kredit.

Apple Cash pula kad digital dalam Wallet yang benarkan pengguna hantar dan terima duit melalui Wallet dan Messages. Ia menyimpan wang dan berfungsi seperti e-dompet. Menariknya, ia turut hadir dengan sebuah kad fizikal yang lawa rekaannya, dinamakan Apple Card.

Apple Pay dah masuk Malaysia, Apple Cash bila lagi?

Entah dan mungkin tidak langsung.

Hal ini kerana Apple Cash hingga hari ini hanya tersedia di Amerika Syarikat.

Bolehkah imbas kod QR untuk bayar dengan Apple Pay?

Tidak.

Kita sedia maklum sudah ramai peniaga jalanan dan kecil-kecilan menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow. Kita sebagai pengguna juga lebih selesa menggunakannya kerana sangat mudah.

Namun, Apple Pay hanya menyokong pembayaran melalui sentuhan atau tap pada terminal.

Apakah Apple Pay ada kod QR untuk pekedai/orang lain imbas?

Tidak ada.

Sama seperti kad fizikal juga, transaksi secara fizikal dilakukan melalui NFC. Justeru hanya antara iPhone/iPad/Apple Watch dengan terminal sahaja.

Boleh tambah MyKad dan lesen pada Wallet?

Tidak.

Setakat ini, nampaknya pengguna tempatan masih belum dibenarkan memautkan kad pengenalan dan lesen dalam Wallet seperti negara lain.

Perlu saya buka aplikasi Wallet dulu sebelum bayar?

Tidak.

Pada bila-bila masa, sama ada skrin terpadam atau sedang digunakan, hanya dengan tekan butang kuasa 2 kali, peranti terus bersedia untuk imbas wajah atau cari anda sebelum membenarkan transaksi diluluskan.

Boleh buat ansuran atau BNPL melalui Apple Pay seperti Spay Later, Atome dan lain-lain?

Tidak.

Saya guna Mac yang sokong Apple Pay. Boleh saya guna bayar guna Apple Pay melalui pelayar selain Safari, contohnya Chrome?

Tidak.

Pembayaran Apple Pay dalam talian melalui pelayar (browser) hanya boleh dilakukan pada Safari.

Adakah Apple Pay juga minta kod PIN untuk pembayaran lebih RM250 dalam satu resit?

Tidak.

Semua transaksi tanpa mengira minimum dan maksimum memerlukan pengesahan Face ID/Touch ID namun anda tidak perlu masukkan kod PIN sebesar mana pun jumlah perbelanjaan anda.

{suggest}

Boleh saya tetapkan had perbelanjaan sehari atau jumlah tertentu yang perlukan kod PIN?

Tidak boleh.

Tetapan ini dan seumpamanya hanya boleh anda lakukan dengan pihak bank sendiri.

Pelanggan Maybank contohnya boleh melakukannya melalui aplikasi MAE, laman web Maybank2u atau ATM.

Untuk makluman, had transaksi Apple Pay adalah mengikut apa yang ditetapkan bank terhadap kad debit/kredit anda.

Saya dah jailbreak iPhone saya, boleh guna Apple Pay?

Elakkan.

Apabila anda sudah ‘pecahkan’ sistem perisian iOS dengan jailbreak, anda sudah terdedah pada ancaman yang tersembunyi. Justeru, penggunaan Apple Pay, Wallet dan kad dipautkan adalah berisiko.

Betul selamatkah bayar dengan Apple Pay?

Menurut Apple, iCloud akan menyulitkan (encrypt) data Wallet anda apabila ia dihantar melalui Internet dan menyimpannya dalam format yang disulitkan apabila ia berada dalam pelayan Apple.

Untuk setiap transaksi juga, Apple akan cipta kod unik. Justeru, pekedai tidak tahu nombor kad sebenar debit/kredit anda. Bahkah ia juga tidak disimpan pada pelayan Apple.

Namun, diingatkan juga, soal keselamatan siber ini, sejauh mana selamat sekalipun penggodam dan penjenayah pasti jumpa cara untuk ceroboh dan dapatkan maklumat pengguna.

Sedikit peringatan, elakkan menggunakan Wi-Fi terbuka atau yang anda tidak tahu penyedianya. Hal ini kerana penggodam boleh mencuri data dengan pelbagai helah walaupun anda yakin dengan langkah keselamatan diambil.

Bolehkah kad korporat Maybank dipautkan dengan Apple Pay?

Tidak.

Apakah kad ‘supplementary’ juga ditambah ke dalam Apple Pay apabila kad utama (primary) dipautkan dalam Wallet?

Tidak.

Anda perlu menambah kad ‘supplementary’ secara berasingan tetapi dengan kaedah sama.

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress