Ini Adalah LG Velvet 2 Pro, Telefon LG Yang Tak Boleh Dimiliki

Seperti yang diketahui, LG sudah tiada lagi urusan dengan telefon pintar selepas ini kerana mereka telah menutup perniagaan itu. Walau bagaimanapun, semasa penutupannya, LG sebenarnya sedang membangunkan telefon pintar baharu.

Terdahulu, kami pernah melaporkan yang mana telefon andalan (flagship) dari LG hanya dijual kepada pekerjanya sahaja. Kini nampaknya perkara tersebut adalah benar.

Terbaru, sebuah saluran YouTube Korea - Phonehub memuatnaik video nyahkotak (unboxing) telefon pintar tersebut yang dinamakan LG Velvet 2 Pro. Bagi pengguna telefon LG, pasti anda sinonim dengan siri ini.



Berdasarkan video tersebut, terdapat dua kotak dimana kotak utama mengandungi sebuah telefon LG, dua bekas (case) telefon dan satu kabel dengan tanpa pengecas. Sementara kotak kedua mempunyai pengecas dan kabel tambahan.

Pada telefon itu, butang kuasa berada pada bahagian atas. Manakala bahagian sisi kiri terletak laras audio (volume button) dan Google Assistant tetapi bukan butang fizikal.



Panel belakang menggunakan panel kaca dan menempatkan tiga tetapan kamera yang hadir dengan kemasan warna emas. Bawahnya pula dilengkapi pembesar suara, port USB-C dan tiada bicu audio (headphone jack).



Dari segi spesifikasi, ia sama seperti yang pernah didedahkan @FrontTron dimana tampil dengan cip Snapdragon 888, 8GB RAM, storan 128GB, skrin 6.8 inci P-OLED 120Hz, pengimbas cap jari pada skrin, bateri 4500mAh serta kamera 64MP utama, ultra lebar dan 3x telefoto.

Sayang sekali dimana telefon pintar ini memang tidak dapat dilihat di pasaran, apa lagi untuk memilikinya.

Sumber: Phonehub

Baca juga - Bukan Telefon Sendiri, LG Mungkin Jual iPhone Pula Di Kedai Mereka

Baca juga - Google Disiasat Kesatuan Eropah Berkaitan Monopoli Iklan Dalam Talian

Baca juga - Samsung Galaxy Tab A7 Turun Harga, Kini Lebih Murah