Jika anda masih mengingati kacau-bilau dunia apabila isu Y2K ‘menyerang’, mungkin ia mencerminkan tentang usia anda. Bagi yang tidak maklum, Y2K merujuk pada masalah yang berlaku disebabkan kebanyakan perisian (software) tidak menyokong 4 angka untuk tahun.
Apabila program komputer dibangunkan sekitar 1960-an hingga 1980-an, jurutera komputer menggunakan kod 2 angka untuk tahun bagi menjimatkan storan.
Jadi, tahun disingkatkan pada 2 angka contohnya “1998” ke “98”. Oleh itu, apabila masuk ke tahun 2000, komputer memahami “00” sebagai tahun 1900 dan dunia lantas menjadi porak-peranda terutamanya sektor perbankan dan logistik.
Perkara yang sama juga mungkin akan berlaku apabila pelayar Chrome dan Firefox dikemas kini ke versi 100 tidak lama lagi. Bagaimana ia berlaku?
Apabila kita membuka sesebuah laman web, pelayar akan menghantar data yang dipanggil ‘User-Agent’. Dalam User-Agent ini, maklumat seperti nama pelayar, nombor versi pelayar dan lain-lain yang dihantar akan digunakan oleh laman web untuk menyediakan UI dan UX yang disokong pelayar.
Sebagai, contoh User-Agent string di bawah.
Mozilla/5.0 (Windows NT 10.0; Win64; x64; rv:97.0) Gecko/20100101 Firefox/97.0
97 tersebut ialah versi pelayar Firefox. Jika pelayar tersebut ialah versi 100, maka ‘100’ akan menggantikan tempat ’97’ dan di sinilah masalah berlaku yang menyebabkan laman web menjadi ‘gelong’.
Dengan peralihan dari 2 angka ke 3 angka ini, sama seperti Y2K, tidak semua laman web bersedia untuknya. Tampak mudah dan kelakar namun inilah realiti dunia digital yang berfungsi berdasarkan logik.
Namun, Chrome dan Mozilla telah bersedia akan hal ini. Mereka telah mengujinya beberapa sejak Ogos 2021 dan mendapati hanya sebilangan kecil laman web tidak dapat dipaparkan dengan baik. Antara laman web yang tidak menyokong 3 angka dalam User-Agent ini ialah HBO Go, Bethesda, Yahoo dan Slack.
Sementara masih bereksperimen dan mencari jalan keluar, Chrome dikatakan akan kekal menggunakan angka “99” pada User-Agent mereka walaupun pelayar tersebut sebenarnya versi 100. Firefox pula akan menggunakan pendekatan lain di mana ia akan menggunakan webcompat yang akan bertindak hanya apabila laman web tersebut tidak menyokong versi 100.
Bahkan sewaktu pelayar mencapai versi 10 ketika dulu pun, perkara yang sama turut berlaku kerana perubahan dari 1 angka ke 2 dua angka.
Chrome versi 100 dijangka akan dilancarkan pada 29 Mac manakala Firefox pula pada 3 Mei 2022.
Sumber: web.dev
Gambar utama: web.dev
Baca juga: