iMac Dengan Cip M1 Dah Boleh Dibeli Bermula Hari Ini

Jika minggu lepas, iPad Pro yang dikuasakan cip Apple M1 sudah boleh dibeli di Malaysia, kini tiba giliran iMac dengan cip tersebut pula rasmi untuk dimiliki pengguna tempatan.

Mengimbas kembali, iMac 2021 tampil dengan rupa bentuk yang lebih nipis dan pilihan warna lebih banyak. Walaupun cip pemprosesan dinaik taraf tetapi hanya ditawarkan skrin Retina 4.5K berukuran 24 inci sahaja.



Baca juga - Pekerja Apple Mohon Tim Cook Kecam Keganasan Terhadap Palestin

Dari sisi lain, papan kekunci Apple juga dimuatkan Touch ID, kameranya dinaiktaraf kepada 1080p dan mikrofon serta pembesar suara lebih berkualiti.

Perlu diingatkan, membeli iMac ini ibarat pembelian telefon pintar. Ini kerana anda perlu berfikir masak-masak sebelum mengeluarkan wang disebabkan spesifikasi dalaman tidak boleh ditukar ganti seperti storan dalaman dan juga RAM.



Harga jualan rasmi di Malaysia adalah bermula RM5599 dan boleh dibeli melalui laman Apple Malaysia. Namun, jika membelinya menerusi pakej pendidikan dari Apple Education Store, ia dijual bermula hanya RM5379.

Baca juga - Cip M1 Terlalu "Power" Untuk iPad Pro

Dalam pada itu, Mac mini sebenarnya boleh dijadikan alternatif kepada iMac 2021. Kedua-duanya masih mampu memberikan prestasi yang sama dan dilengkapi port sama. Akan tetapi, harga Mac mini bermula RM2999.

Kapsyen: Mac mini


Selain itu, papan kekunci dan tetikus juga boleh dibeli daripada jenama lain seperti Logitech yang memang mengkhususkan peranti Apple ini.

Baca juga - Cip Apple M2 Dijangka Akan Tiba Tidak Lama Lagi

Untuk monitor, terdapat banyak penawaran di pasaran seperti monitor daripada LG atau siri Asus Pro Art. Apa yang penting, kos keseluruhan sedikit rendah berbanding iMac.

Seperti biasa, komputer Apple ini adalah untuk golongan kreatif yang memerlukannya untuk tugasan penyuntingan. Jika anda pengguna biasa sahaja, tidak berbaloi untuk melabur pada iMac.

Sumber: Apple