Huawei Lancar Jam Pintar Watch GT 2e - Lebih Murah Berbanding Watch GT 2 46mm

Selain pelancaran siri Huawei P40, Huawei juga turut melancarkan jam pintar Watch GT 2e. Ia merupakan penawaran versi Watch GT 2 46mm yang lebih bergaya dan juga dijual pada harga yang lebih rendah.

Paparan Huawei Watch GT 2e turut mempunyai paparan yang sama 1.39 inci AMOLED dengan resolusi 454 x 454 pixel. Walau bagaimanapun, bezelnya sedikit lebih tebal jadi keseluruhan dimensi fizikal adalah lebih besar.Badan jam diperbuat dari keluli tahan karat serta disokong 5 ATM untuk perlindungan kalis air. Untuk tali jam, kini ia mempunyai tali TPU terbina yang tidak boleh ditukar.

Watch GT 2e juga turut mempunyai ketahanan bateri yang sama iaitu 14 hari. Ini adalah kerana cip pemprosesan juga merupakan cip yang sama Kirin A1. Jika pengguna menggunakan GPS jam, ia mampu bertahan selama 30 jam. Untuk senario lain seperti mendengar muzik menggunakan Bluetooth pula, hayat bateri mampu bertahan sehingga 24 jam sahaja.

RAM pada jam ini adalah 16MB manakala untuk storan dalaman ia mempunyai saiz 4GB yang boleh memuatkan kira-kira 500 lagu.  Untuk senaman, terdapat banyak pilihan mod seperti skateboard, memanjat, belayar, menari, berenang, treadmill, dan sebagainya.

Fungsi lain jam antaranya termasuklah sensor SpO2 untuk mengira kadar intensiti aktiviti VO2Max. Terdapat juga TruRelax yang boleh digunakan untuk mengawal stres melalui latihan pernafasan dan juga pemantauan kesihatan tidur anda.



Huawei Watch GT 2e didapati dalam 4 pilihan warna iaitu Graphite Black, Lava Red, Mint Green, dan juga Icy White. Di Eropah, ia dijual pada harga €200 (~RM966). Dari segi harga, ia diletakkan di tengah-tengah berbanding Watch GT 2 46mm dan juga Watch GT 2 42mm yang lebih murah.

Untuk pasaran Malaysia, masih belum dipastikan sama ada jam pintar ini akan hadir atau tidak.

Sumber: Huawei Watch GT 2e