Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Hayabusa2 Hampiri Asteroid Pada Kelajuan 18,000 Km/j Dalam Ujian Selamatkan Bumi

Posted on Julai 6, 2026Julai 6, 2026

Sebuah penjelajah angkasa lepas Jepun telah melakukan penerbangan jarak dekat merentasi sebuah asteroid hampir-Bumi pada hari Ahad, dalam satu misi ujian teknologi yang boleh membantu melindungi planet ini daripada batuan angkasa.

Penjelajah Hayabusa2 yang bersaiz sebuah peti sejuk dijadualkan terbang dalam jarak 800 meter (0.5 batu) dari asteroid Torifune, menurut saintis Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun (JAXA) sebelum ini.

Ia merupakan satu ujian rintis untuk melihat sama ada penjelajah sedemikian mampu memesongkan batuan angkasa yang berpotensi berbahaya daripada menghentam Bumi.

Misi ini menyusul selepas NASA dengan sengaja menghentam sebuah kapal angkasa ke arah asteroid Dimorphos yang berukuran 160 meter lebar pada tahun 2022, dan berjaya mengubah orbitnya di sekitar batuan angkasa yang lebih besar.

Bergerak pada kelajuan lebih daripada 18,000 kilometer (11,185 batu) sejam, Hayabusa2 tidak direka untuk bertembung dengan Torifune.

Hayabusa2.

Sebaliknya, para saintis mahu menilai sama ada mereka boleh mengawal trajektori kuar tersebut dengan tepat, sekiranya ia perlu melakukan tugasan pemesongan pada masa hadapan.

“Pada jam 6:35 petang (0935 GMT)… Hayabusa2 telah melakukan penerbangan jarak dekat dengan Torifune dan kapal angkasa tersebut berfungsi dengan normal,” kata seorang jurucakap wanita JAXA kepada AFP, yang enggan mendedahkan namanya.

Rakaman dalam talian yang disediakan oleh JAXA menunjukkan para saintis bertepuk tangan di dalam bilik kawalan.

“Saya berasa gementar dan berdebar sepanjang masa… Namun saya amat gembira kerana kami berjaya menyempurnakannya sehingga akhir,” kata salah seorang saintis kepada siaran langsung JAXA.

Jika disahkan bahawa penjelahaj angkasa itu benar-benar berada dalam jarak 800 meter dari Torifune, misi tersebut akan menjadi antara penerbangan jarak dekat yang paling hampir dengan asteroid hampir-Bumi dalam sejarah.

“Ia sama sukarnya dengan cuba menembak tepat sekeping syiling satu yen yang berada di mana-mana sahaja dalam kawasan yang membentang dari Okinawa hingga ke Hokkaido,” kata Yuya Mimasu dari JAXA sebelum ini, merujuk kepada pulau-pulau paling selatan dan paling utara di Jepun.

Imej ini yang diambil oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) pada 5 Julai 2026 dan dikeluarkan oleh Jiji Press pada 6 Julai 2026 menunjukkan pemandangan asteroid Torifune semasa penerbangan lintasan pesawat angkasa Hayabusa2.

Batuan Gondol atau Berpasir?

Kamera di atas kapal Hayabusa2 juga sedang merekodkan data daripada permukaan asteroid tersebut termasuk ciri-ciri geografi, tekstur, dan suhunya — maklumat penting untuk misi pertahanan planet yang berpotensi.

“Adakah permukaannya terdiri daripada batuan gondol, atau dilitupi oleh kawasan batu luluh  atau pantai berpasir? Hanya imej yang diambil oleh kapal angkasa yang dapat mendedahkan maklumat ini,” kata Patrick Michel, saintis projek di Agensi Angkasa Eropah (ESA), kepada AFP sebelum penerbangan jarak dekat itu berlaku.

“Jika kita mahu memesongkan asteroid melalui impak perlanggaran, tindak balasnya tidak sama jika asteroid itu berkelakuan seperti span atau jika ia berkelakuan seperti bahan yang sangat padat,” katanya.

Misi penjelajah angkasa ini bukan berasaskan sebarang ancaman sebenar daripada asteroid terhadap Bumi buat masa ini.

Dilancarkan pada 2014, Hayabusa2 sebelum ini telah mengujakan para saintis apabila berjaya mendarat dan mengumpul bahan daripada asteroid Ryugu, yang terletak kira-kira 300 million kilometer (185 million batu) dari planet kita.

Enam tahun kemudian, ia kembali ke Bumi membawa sampel berharga dari Ryugu — yang bermaksud “istana naga” dalam bahasa Jepun — sekali gus memberikan petunjuk kepada para saintis tentang keadaan sistem suria ketika ia terbentuk sekitar 4.6 bilion tahun dahulu.

Selepas misi Torifune, penjelajah angkasa itu dijangka akan cuba melakukan “rendezvous” pada tahun 2031 — satu manuver di mana ia akan terbang bersebelahan atau mendarat di atas sebuah lagi batuan angkasa yang dipanggil 1998KY26 untuk mengumpul data terperinci.

Walaupun selepas kejayaan Ujian Pengubahan Hala Dua Asteroid (DART) oleh NASA, penerbangan jarak dekat yang bercita-cita tinggi pada hari Ahad ini tetap sangat berbaloi, kata saintis Agensi Angkasa Eropah, Michel.

“Memandangkan kepelbagaian asteroid hampir-Bumi dari segi saiz, bentuk, permukaan, dan sifat dalamannya, setiap imej baharu yang diperoleh membuatkan kita menjadi lebih bersedia.”

– AFP

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress