Sekiranya cuaca mengizinkan di lokasi anda, anda berpeluang cerah untuk melihat planet Musytari hanya dengan menggunakan mata kasar selain daripada menggunakan binokular dan teleskop dengan menghadap ke ufuk timur yang bebas daripada sebarang halangan.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Musytari akan kelihatan di langit malam sepanjang bulan Ogos hingga Disember 2021.
Musytari berada di buruj Aquarius mulai Ogos 2021 dan beralih sedikit demi sedikit ke arah barat sepanjang Ogos 2021 dengan merentas di sempadan buruj Aquarius – Capricornus.
Pada masa inilah jugalah peminat pemerhati angkasa lepas berpeluang melihat permukaan Musytari dengan ciri luarannya yang menonjol dengan jelas iaitu Great Red Spot serta 4 bulan utamanya, iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callisto yang dikenali sebagai Galilean Moons yang boleh dilihat dengan menggunakan teleskop.
Musytari (Jupiter) merupakan planet ke-5 dan terbesar dalam sistem suria.
Planet ini mempunyai satu tompok merah dikenali sebagai ‘The Great Red Spot’ iaitu ribut raksasa bersaiz lebih besar daripada Bumi.
Saiz Musytari adalah 11.2 kali ganda lebih besar dari Bumi dan 10 jam di planet itu adalah bersamaan satu hari planet Musytari.
Musytari mempunyai 79 bulan dan daripada jumlah itu, 4 bulan utama telah diperhatikan oleh ahli astronomi Galileo Galilei pada tahun 1610 dan dikenali sebagai Galilean Satellite/Moons iaitu:
- Io – mempunyai banyak gunung berapi paling aktif dan tasik lava silikat yang cair di permukaannya;
- Europa – permukaan berais dan mempunyai lautan air di bawah permukaannya;
- Ganymede – satu-satunya bulan yang menghasilkan medan magnet sendiri; dan
- Callisto – banyak kawah dengan permukaan berais dan berbatu, mempunyai hidrogen dan oksigen di atmosferanya serta karbon dioksida di permukaannya.
Baca juga: Siapa Yang Sempat Melihat Sendiri Fenomena ‘Konjungsi Musytari Dan Zuhal’?