Di Malaysia, kerajaan telah mengumumkan rangkaian 5G akan mula digunakan secara komersil sekitar hujung tahun ini. Bukan sahaja kelajuan rangkaian lebih pantas, 5G juga turut hadir dengan lengah masa yang sangat kecil berbanding 4G.
Namun begitu, dengan kewujudan rangkaian 5G ini, ia menimbulkan persoalan, apa impaknya kelak terhadap bateri dan jangka hayat telefon.
Kita di Malaysia masih lagi belum boleh menggunakan secara rasmi kecuali ujian tapak 5G seperti di Langkawi, Subang Jaya, dan lain-lain sebelum ini.
Justeru, untuk menyiasat bagaimana impak penggunaan 5G terhadap jangka hayat telefon pintar agak sukar untuk dipelajari kerana ketiadaan akses.
Pun begitu, di luar negara pula seperti China dan Amerika Syarikat, rangkaian 5G telah pun dikomersilkan dan digunakan secara meluas.
Saya telah mengumpulkan beberapa kajian dan laporan di bawah mengenai 5G untuk mengetahui kesannya kepada bateri telefon pintar.
Visermark
Laporan pertama yang saya jumpa bersifat sedikit saintifik adalah dari Visermark. Melalui laporan mereka, penggunaan 5G akan menjadikan peratusan bateri 2 kali ganda lebih pantas berbanding 4G.
Mereka juga mendapati suhu telefon pada 5G lebih cepat memanas secara beransur-ansur dalam masa yang singkat sedangkan ia lebih mendatar pada rangkaian 4G.
Ia menunjukkan pada 5G, telefon perlu bekerja lebih keras untuk memuatkan kandungan dan juga mencapai kelajuan lebih tinggi lantas memanaskan telefon lebih cepat.
Menurut Visermark, ujian ini dilaksanakan pada rangkaian 4G yang sangat stabil -80dbm manakala 5G sedikit lemah namun masih baik -99dbm. Selain itu, mereka juga perlu menangani isu ketidak stabilan kerana telefon kadang kala beralih antara 4G dan 5G.
Apple
Siri iPhone 12 merupakan model iPhone pertama dengan rangkaian 5G. Jadi selain hanya sekadar iPhone baharu, ia satu-satunya model yang menyokong 5G menjadikannya model yang signifikan untuk dibeli jika mahu mengakses teknologi itu.
Berkenaan dengan penggunaan 5G pada iPhone 12, beberapa laporan telah mengesahkan jangka hayat yang menurun ketika menggunakannya.
Melalui laporan dari Tom’s Guide, mereka telah menguji iPhone 12 dan iPhone 12 Pro pada kedua-dua rangkaian 4G dan 5G. Mereka mendapati bateri menurun lebih pantas sekitar 20% apabila 5G digunakan.
Disebabkan jangka hayat lebih pendek, ini mungkin faktor utama mengapa Apple menyertakan mod Smart Data yang menukar rangkaian kepada 4G jika 5G tidak digunakan secara automatik.
Verizon
Verizon, yang juga merupakan antara salah satu telco utama di Amerika Syarikat telah pun memulakan pengedaran rangkaian 5G secara awam sejak dari 2018 lagi. Pada tahun 2021 ini, penggunaan 5G lebih meluas dengan jumlah bandar yang lebih banyak disokong.
Baru sahaja lagi, awal Februari ini juga Verizon secara tidak langsung mengakui 5G akan menyebabkan bateri cepat menurun menerusi Twitter.
Walau bagaimanapun, kicauan itu telah dipadam tidak beberapa lama selepas itu. Kicauannya mengisahkan pengguna harus mengaktifkan LTE jika mereka merasakan peratus bateri cepat menurun berbanding biasa.
Namun, apa yang sebenarnya terjadi adalah jika memilih untuk mengaktifkan LTE, sudah tentu rangkaian 5G akan dimatikan dan sudah tentu bateri akan lebih tahan lama.
Mungkin Verizon memadam kicauan tersebut kerana dirasakan agak ironi sebuah telco yang juga mempromosikan telefon 5G terbaharu tetapi menyuruh pengguna untuk tidak menggunakan 5G.
Huawei
Huawei merupakan antara jenama awal yang mengetengahkan telefon dengan rangkaian 5G.
Pada laman rasmi Huawei sendiri, mereka turut menyatakan bahawa 5G akan menggunakan bateri lebih banyak berbanding 4G terutamanya ketika menonton video.
Menurut Huawei, pada rangkaian 5G, jalur lebar lebih besar diperlukan untuk memastikan pengalaman penggunaan lebih lancar. Justeru ia memakan lebih banyak kuasa dan tenaga bateri.
Samsung
Samsung, juga melalui laman rasmi mereka turut memperingatkan bahawa anda mungkin menyedari bahawa bateri telefon lebih cepat menurun apabila menggunakan rangkaian 5G.
Mereka turut menambah, perkara ini adalah merupakan limitasi teknologi buat masa ini dan akan dipertingkatkan lebih baik pada masa akan datang.
Mengenai faktor bateri cepat menurun, apabila menggunakan 5G, telefon turut berhubung dengan 4G dan 3G disebabkan 5G masih belum boleh digunakan untuk membuat panggilan.
Jadi, telefon masih memerlukan sambungan 4G/3G supaya dapat melayari internet pantas dan pada masa yang sama menerima atau membuat panggilan.
Berikutan dari hal ini, selain bateri cepat menurun, telefon juga akan cepat memanas berbanding hanya menggunakan 4G atau 3G.
Signal Research Group (SRG)
Signal Research Group (SRG) merupakan konsultan dan pakar dalam bidang telekomunikasi tanpa wayar berpangkalan di Amerika Syarikat.
Pada tahun 2019, mereka telah membuat kajian perbandingan antara 4G dengan 5G dan mendapati 5G pada kelajuan tertinggi adalah lebih cekap tenaga berbanding 4G.
Namun, jika kedua-dua kelajuan rangkaian menurun, 4G pula lebih cekap tenaga.
Jika diberikan contoh secara praktikal, 5G lebih menjimatkan tenaga jika ia menggunakan data yang begitu besar (satu fail besar) berbanding 4G. Tetapi jika data digunakan bersifat kecil-kecilan (laman web dengan fail kecil) ia tidak begitu cekap.
Menariknya, SRG juga turut mengutarakan aspek baharu dalam perbandingan 4G dengan 5G iaitu penggunaan skrin.
Dengan menggunakan 5G, fail yang dimuat turun menjadi lebih pantas berbanding 4G seterusnya mengurangkan tempoh skrin menunggu hasil muat turun tersebut.
Satu konklusi berjaya disimpulkan, rangkaian lebih pantas turut menyebabkan skrin telefon ditutup lebih awal (tidak perlu menunggu lama) yang seterusnya dapat membantu menjimatkan bateri.
Bahan Nano Baharu
Sedikit berlainan dari laporan lain yang sekadar memberi kenyataan 5G akan menyebabkan bateri cepat habis, sebuah pasukan jurutera cuba untuk membangunkan penyelesaian baharu untuk menangani masalah ini.
Projek tersebut terdiri dari jurutera dari University of Texas dan University of Lille yang disuntik dana oleh ketenteraan Amerika Syarikat sedang berusaha untuk mencipta satu rekaan bahan nano baharu untuk meningkatkan kadar kecekapan 5G secara keseluruhan.
Salah satu perkara yang dinyatakan adalah ‘suis’ untuk beralih dari 5G ke 4G sangat menggunakan tenaga yang banyak.
Jadi, mereka telah mencipta satu suis baharu menggunakan bahan ‘hexagonal boron nitride’ yang hanya setebal satu lapisan atom dan juga turut dikenali sebagai penebat ternipis di dunia.
Dengannya, suis menggunakan bahan baharu ini boleh mengubah kadar penggunaan tenaga seterusnya dapat menjimatkan bateri telefon.
Namun, setakat ini tiada lagi maklumat tambahan yang mengatakan bila ia akan digunakan secara rasmi pada telefon pintar.
Apa yang pasti, teknologi suis baharu ini sudah tentu akan digunakan terlebih dahulu dalam industri ketenteraan dan juga pertahanan berbanding pengguna awam biasa.
Rumusan
Melalui beberapa lampiran laporan dan kajian yang dinyatakan, terdapat beberapa perkara yang pasti dan yang boleh disimpulkan iaitu:
- 5G buat masa ini lebih cepat menghabiskan bateri dan cepat panas berbanding 4G
- Teknologi 5G masih lagi belum matang sepenuhnya dan perlukan banyak penambahbaikan
- Penyelesaian untuk menangani isu kecekapan tenaga 5G sangat rancak dilakukan
- Komponen dan keperkakasan 5G pada masa akan datang akan lebih cekap tenaga dan lebih bagus
- Bateri cepat menurun dan panas berpunca dari sambungan 3G, 4G, dan 5G serentak kerana 5G belum lagi boleh digunakan untuk membuat dan menerima panggilan, hanya pemindahan data sahaja
Rangkaian 5G masih lagi belum matang sepenuhnya dan sentiasa akan ditambah baik dari aspek infrastruktur mahupun telefon pintar yang menyokongnya.
Rujukan:
- Visermark: Impak 5G Terhadap Jangka Hayat
- Macrumors: 5G Cairkan Bateri iPhone 12 20% Lebih Laju dari 4G
- SEA Mashable: Verizon Akui 5G Mungkin Punca Bateri Cepat Habis Tanpa Sedar
- Tom’s Guide: Jangka Hayat iPhone 12
- Arstechnica: Verizon Suruh Pengguna Untuk Nyahaktif 5G Demi Bateri, Kemudiannya Padam Kicauan Tersebut
- Huawei: Bateri Telefon 5G Saya Turun Lebih Pantas Bila Guna Internet
- Samsung: Telefon Samsung Cepat Habis Bateri Bila Guna 5G
- Venturebeat: 5G Cekap Tenaga Bila Pada Kelajuan Maksimum, Tetapi Tidak Pada Kerja-Kerja Biasa
- Signal Research: 5G: Pertunjukan Paling Hebat Atas Muka Bumi
- Daily Mail: Telefon 5G Boleh Jadi 50 Kali Ganda Lebih Cekap Tenaga
- Popular Mechanics: 5G Memang Mengancam, Tetapi Ia Akan Punahkan Bateri Telefon
- Army: Suis 5G Baharu 50 Kali Lebih Cekap Tenaga