Memasuki era 5G di Malaysia, kesemua pihak dari pembangun infrastruktur, syarikat telekomunikasi dan juga kerajaan bertungkus lumus untuk membawa teknologi ini mengikut piawaian yang sepatutnya. Kami berpeluang untuk ke Langkawi ke tapak ujian 5G di sana melalui peranti Mate 30 Pro 5G yang dibekalkan oleh Huawei.
Lawatan kami juga adalah bersempena Projek Demonstrasi 5G yang juga memperlihatkan kemampuan rangkaian 5G ini.
Jadi setelah menguji rangkaian 5G menggunakan peranti ini, Mate 30 Pro 5G diibaratkan seperti peranti penting yang menjadi langkah pemula dalam kemajuan teknologi 5G yang bakal berkembang pesat dalam tahun-tahun yang akan mendatang.
Untuk pasaran Malaysia, peranti ini akan hadir tidak lama lagi disebabkan ia sudah menerima pelepasan SIRIM. Ini membuatkan peranti ini merupakan peranti yang pertama sah dan selamat digunakan pada rangkaian 5G.
Mate 30 Pro 5G merupakan peranti yang sedikit berbeza berbanding model Mate 30 Pro biasa kerana cip Kirin 990nya lebih pantas, pemprosesan grafik Mali-G76 Mc16 yang lebih berkuasa serta mempunyai kemasan kulit yang premium. Kesemua peningkatan pemprosesan ini sememangnya diperlukan untuk memproses rangkaian 5G dan juga memberikan prestasi yang lebih baik dalam penggunaan seharian.
Peranti ini mempunyai modem Balong 5000 terbina dalam Kirin 990 5G tersebut dan menyokong teknologi SA dan NSA untuk 5G. Untuk peranti ini, ia menyokong sehingga 21 antenna di mana 14 daripadanya menyokong band rangkaian 5G secara global.
Kelebihan mempunyai antenna banyak sebegini memudahkan rangkaian disambungkan walau pengguna memegang peranti dengan cara yang macam mana pun.
Untuk kelajuan muat turun, ia menyokong sehingga 2.4Gbps dan 1.25Gbps untuk kelajuan muat naik.
Namun itu adalah spesifikasi di atas kertas. Untuk ujian 5G sebenar, peranti ini berjaya mendapat kelajuan sehingga 1.9Gbps, manakala untuk muat naik kelajuan yang dicatat adalah 132Mbps.
Ini semestinya sangat mengujakan disebabkan kelajuan yang super pantas menghampiri kelajuan muat turun tertinggi. Kelajuan ini adalah 10 kali ganda lebih laju dari rangkaian 4G menyebabkan pengalaman memuat turun terutamanya fail yang sangat besar menjadi lebih pantas.
Terdapat juga demo panggilan video melalui rangkaian 5G. Ketika panggilan dibuat, memang tidak kelihatan sela masa dan panggilan berjalan dengan sangat lancar. Ini adalah disebabkan latensi 5G yang sangat rendah membuatkan perbualan antara pemanggil dan penerima kelihatan sangat natural.
Latensi rangkaian 5G adalah sekitar 11ms–20ms menjadikannya jauh lebih baik terutamanya untuk aktiviti bermain permainan berbanding rangkaian 4G pada 40ms–60ms.
Huawei juga memperlihatkan demo main video dengan resolusi 8K melalui Huawei Vision TV yang disediakan. Walaupun resolusi video sangat tinggi, video tersebut masih lancar tanpa sebarang buffering.
Antara produk lain yang dipertontonkan adalah router CPE Pro 5G dengan rangkaian yang dikuasakan melalui sim kad 5G dari Maxis. Dengan CPE Pro 5G ini, ia menawarkan kelajuan pantas jalur lebar yang disambungkan dari peranti seperti Huawei Matebook 13 dan juga Mate 30 Pro 5G.
Huawei merupakan nama besar yang membekalkan rangkaian 5G secara global. Ini dibuktikan melalui 47 negara di dunia yang sudah mempunyai 5G secara komersil, majoriti menggunakan infrastruktur dan teknologi dari Huawei seperti China, Jerman, Britain, Dubai dan Itali.
Selain dari rangkaian 5G, peranti ini juga mempunyai kualiti gambar yang sangat cemerlang. Berikut merupakan sampel kualiti imej dari kameranya.
Ia mempunyai kamera belakang 40MP Supersensing utama + 40MP Cine Camera video + 16MP Ultralebar + 8MP telefoto. Manakal kamera swafoto pula bersaiz 32MP.
Spesifikasi lain juga tidak kurang hebatnya, ia mempunyai pengecasan pantas 40W dan juga tanpa wayar 27W. Bateri yang dibekalkan adalah bersaiz 4500mAh yang boleh dicas melalui USB–C.
Peranti ini masih lagi belum dijual di pasaran dan akan hadir dalam masa terdekat. Jika anda ingin ketahui dengan lebih lanjut mengenai produk-produk Huawei, anda boleh layari laman sesawang rasmi Huawei Malaysia.