Google Akan Mengharamkan Terus Pautan Torrent Di Enjin Carian

Walaupun sudah beberapa kali ianya disekat, laman carian torrent seperti KickAss Torrent dan Pirate Bay sentiasa muncul semula di internet. Dan Google secara tidak sengaja memainkan peranan yang besar dalam memaklumkan orang ramai tentang laman web tersebut.

Oleh kerana bilangan aduan yang diterima daripada syarikat-syarikat hiburan selama ini, Google bersama-sama dengan enjin carian yang lain dilaporkan kini merancang untuk mengharamkan laman torrent secara mutlak.

Dalam usaha untuk menumpaskan cetak rompak, Google memulakan perbincangan dengan syarikat-syarikat carian lain dan studio hiburan yang dipengerusikan oleh Intellectual Property Office yang berpusat di UK, menurut laporan dari pihak Torrent Freak sendiri.

Tetapi jika ianya dilaksanakan, perjanjian itu mungkin terhad untuk negara di UK sahaja. Syarikat-syarikat, seperti Yahoo dan Bing juga dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk menangani kemunculan laman torrent dalam hasil carian.

Torrent Freak juga turut menambah perjanjian itu akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2017. Sehingga kini, tiada apa yang dimuktamadkan dan syarikat-syarikat yang terlibat masih tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai rancangan mereka untuk membendung cetak rompak.

Sumber 1 Sumber 2