Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan muzik dalam masa beberapa minit. Namun di Malaysia, karya yang dijana oleh AI mungkin tidak layak menerima perlindungan hak cipta atau royalti.
Baru-baru ini, isu muzik dijana kecerdasan buatan (AI) kembali menjadi perhatian selepas beberapa lagu daripada akaun Jane In Heaven diturunkan daripada platform muzik kerana masalah hak cipta.
Antara yang menjadi tumpuan ialah lagu “Cinta Tersimpul Rapi” versi AI, yang sempat menjadi popular sebelum akhirnya dipadam daripada platform digital selepas timbul bantahan berkaitan penggunaan karya asal tanpa kebenaran. Pencipta di sebalik projek tersebut turut mengakui kesilapan dan menarik semula lagu berkenaan bagi mengelakkan isu undang-undang.

Kes ini sekali lagi membuka perbincangan besar: jika lagu dijana AI, siapa sebenarnya pemiliknya? Dan adakah karya sebegitu layak menerima royalti seperti lagu biasa?
Di Malaysia, perkara ini kini semakin jelas selepas Music Authors’ Copyright Protection (MACP) memperkenalkan garis panduan berkaitan penggunaan AI dalam penghasilan muzik.
Hanya Karya Manusia Layak Terima Royalti
Melalui garis panduan baharu tersebut, MACP menegaskan bahawa hanya karya yang dihasilkan oleh manusia boleh didaftarkan untuk perlindungan hak cipta dan pengagihan royalti.
Ini bermaksud lagu yang dihasilkan sepenuhnya oleh sistem AI tidak akan diiktiraf oleh organisasi tersebut.
MACP turut menyatakan bahawa mereka tidak mengiktiraf karya yang dijana sepenuhnya atau sebahagiannya dengan bantuan AI untuk tujuan pendaftaran karya dan pembayaran royalti kepada ahli.
Pendekatan ini selari dengan prinsip asas undang-undang hak cipta yang menekankan bahawa perlindungan diberikan kepada hasil kreativiti manusia, bukannya hasil yang dijana sepenuhnya oleh sistem automatik.
Kenapa Isu Muzik AI Semakin Hangat?

Kemunculan pelbagai alat AI seperti penjana muzik dan suara sintetik membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan lagu hanya dengan memasukkan beberapa arahan teks.
Google Gemini sendiri pun boleh menghasilkan muzik sekarang tetapi bagi saya ia tidak setanding suno AI.
Dalam beberapa minit, sistem AI boleh:
- mencipta melodi
- menghasilkan vokal
- meniru gaya artis tertentu
- atau mencipta semula lagu lama dalam versi baharu
Walaupun teknologi ini membuka peluang kreatif baharu, ia juga menimbulkan persoalan besar berkaitan hak cipta, pemilikan karya dan pembahagian royalti.
Kes seperti Jane In Heaven menunjukkan bagaimana lagu AI yang menggunakan atau mengolah karya sedia ada boleh menimbulkan konflik dengan pemilik hak cipta asal.
Ahli MACP Perlu Sahkan Karya Bukan Dijana AI
Bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi, MACP turut memperkenalkan mekanisme pengesahan baharu melalui portal ahli mereka yang dikenali sebagai myKarya.
Melalui sistem ini, ahli MACP perlu membuat pengesahan bahawa karya yang didaftarkan adalah hasil ciptaan manusia dan bukan dijana oleh AI.
Jika terdapat deklarasi palsu, MACP boleh mengambil tindakan termasuk:
- membatalkan pendaftaran karya
- menahan bayaran royalti
Langkah ini bertujuan memastikan sistem pengagihan royalti kekal adil kepada pencipta muzik sebenar.
Penggunaan Lagu Untuk Latihan AI Juga Ada Peraturan
Selain isu karya yang dijana AI, satu lagi perkara penting ialah penggunaan muzik dalam latihan model AI.
MACP menegaskan bahawa mana-mana pihak termasuk syarikat teknologi yang ingin menggunakan repertoir muzik mereka untuk tujuan latihan AI atau penjanaan kandungan perlu mendapatkan kebenaran bertulis serta lesen rasmi terlebih dahulu.
Tanpa kebenaran tersebut, penggunaan karya muzik dalam pembangunan AI boleh dianggap sebagai pelanggaran hak cipta.
Perkara ini semakin menjadi perhatian di seluruh dunia kerana banyak model AI dilatih menggunakan data dari internet yang mungkin mengandungi karya dilindungi hak cipta.
Teknologi AI Tidak Ditolak, Tetapi Perlu Dikawal
Walaupun mengambil pendekatan tegas terhadap karya AI, MACP menegaskan bahawa langkah ini bukan bertujuan menolak teknologi AI sepenuhnya.
Sebaliknya, ia dilihat sebagai usaha untuk memastikan perkembangan teknologi tidak menjejaskan hak pencipta muzik manusia.
Sebagai badan pengurusan kolektif hak cipta muzik di Malaysia, MACP memainkan peranan penting dalam mengutip dan mengagihkan royalti kepada penulis lagu apabila karya mereka digunakan secara komersial.
Isu AI dalam industri kreatif memang sudah dijangka sejak awal lagi. Bukan setakat muzik, sebelum ini gambar, video, animasi dan banyak lagi turut terkesan. Dalam pertandingan fotografi juga ada kes penggunaan kecerdasan buatan.
Bagaimanapun, kita tidak boleh menolak kemajuan teknologi. Saya menganggap yang nak tak nak, kita sekarang ni memang hidup dalam zaman AI.
Andai saya boleh ke masa lampau dan bercerita tentang “satu hari nanti, kita akan ada pembantu maya yang boleh buat semua tugas kita macam hasilkan gambar, muzik, menulis dan sebagainya dalam sekelip mata” pasti diri saya yang dulu akan bercakap saya tidak waras.
Apa-apa pun secara keseluruhan, garis panduan ini boleh dianggap sebagai langkah awal untuk memastikan pencipta muzik terus mendapat pengiktirafan dan ganjaran yang sewajarnya.
{suggest}
