Galaxy Z Flip, Telefon Lipat Terbaru Dari Samsung

Usia Galaxy Fold hampir mencecah setahun setelah diperkenalkan pada 21 Februari tahun lalu dan kini, model lipat seterusnya pula diperkenalkan. Hadir dengan nama Galaxy Flip Z, rekaannya sedikit berlainan daripada model terdahulu.



Mempunyai rekaan yang seperti telefon pintar normal lain, lipatannya adalah dari atas ke bawah, tidak seperti Galaxy Fold yang menghamparkan saiz umpama tablet.

Menerusi model terbaru ini, Samsung telah menggunakan lapisan Ultra Thin Glass yang mampu memberi lebih ketahanan pada paparan. Skrin Dynamic AMOLED yang digunakan mempunyai ukuran 6.7 inci dengan nisbah 22:9. Skrin paparan tersebut menyokong resolusi 1080 x 2636. Kamera selfie 10MP pula ditempatkan pada kawasan atas paparan.



Sementara itu, terdapat juga paparan AMOLED kedua yang berukuran 1.1 inci, diletakkan pada panel luar bagi fungsi notifikasi. Ia akan dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 6. Bahagian luar juga diletakkan dengan kamera 12MP (f/1.8) ditemani bersama 12MP ultra lebar (f/2.2).



Bagi menguasakan peranti, Samsung mengguna pakai cip Snapdragon 855+ dengan pasangan RAM 8GB dan 256GB storan yang berasaskan UFS 3.0. Janaan kuasa peranti pula ditagih daripada bateri berkapasiti 3300mAh dengan pengecasan 15W. Galaxy Z Flip turut mempunyai ciri pengecasan tanpa wayar.



Penawaran telefon pintar boleh lipat Samsung ini dilihat lebih kehadapan jika dibandingkan dengan Motorola Razr. Bukan sahaja dilengkapi spesifikasi lebih tinggi, malah harga jualannya jauh lebih rendah iaitu $1380 (~RM5702, juga lebih murah daripada Galaxy Fold) berbanding Razr yang diletakkan pada nilai $1499. Samsung Galaxy Z Flip akan ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu, Mirror Purple, Mirror Black dan Mirror Gold.