Facebook Group Mungkin Akan Mengenakan Cas Bulanan Kepada Ahlinya Tidak Lama Lagi

Admin group atau pengendali kumpulan di laman Facebook mungkin akan dibenarkan untuk mengenakan cas bulanan kepada ahli-ahli mereka pada masa akan datang. Ini kerana Facebook telah memperkenalkan fungsi langganan kumpulan melalui satu kiriman di laman beritanya semalam.

Cadangan harga langganan yang dibenarkan setakat ini dilaporkan adalah sekitar $4.99 hingga $29.99 (~RM 20 hingga RM 120) sebulan. Bagaimanapun, cas langganan ini cuma akan diluluskan sekiranya kumpulan berkenaan memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh Facebook sahaja.



Menurut Facebook, mereka membuat keputusan ini demi membantu para pengendali kumpulan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk ahli-ahli di bawah kendalian mereka. Langkah yang diambil ini adalah hampir sama dengan tindakan yang dilakukan mereka untuk membantu para penerbit video pada awal tahun ini.

Pengendali kumpulan di Facebook boleh menggunakan wang yang diperolehi daripada cas langganan tersebut untuk mendapatkan lebih banyak kandungan berkualiti tinggi serta menyediakan servis yang lebih baik kepada ahli mereka.

Pada peringkat percubaan, hanya beberapa kumpulan berkaitan penjagaan anak-anak, masakan dan pengendalian rumah kediamaan akan menggunapakai fungsi terbaru ini. Pengumuman ini dijangka akan disambut baik oleh para pengendali namun kurang popular di kalangan ahli-ahli kumpulan di laman Facebook.

Sumber