Lelaki Ini Ajar Cara Untuk Ketahui Kelajuan Pengecasan Peranti

Lewat ini perkembangan dunia teknologi terutamanya dalam arena telefon pintar menyaksikan pasaran aksesorinya juga turut berkembang pesat. Dengan penjualan aksesori telefon pintar di merata ceruk termasuk gerai jualan di stesen KTM Mid Valley, sukar untuk bezakan antara asli dan tiruan. Dari sekecil-kecil aksesori seperti case sehinggalah powerbank, semuanya mudah didapati dan ditawarkan dengan harga yang amat murah hingga tidak masuk akal.

Kabel USB Android bermula dari RM1 hingga RM25, kabel AUX berharga RM8, USB OTG bernilai RM2 dan pelbagai lagi aksesori yang dijual dengan harga borong. Tapi, bagaimana pula dengan kualitinya? Adakah benar kabel yang dijual dengan harga RM5 itu mampu mengecas peranti anda dengan pantas? Betulkah ia mampu membawa voltage sehingga 2.4V atau cuma teknik pemasaran semata-mata?

Dalam artikel ini saya ingin berkongsi bagaimana untuk mengetahui kebenaran di sebalik kepantasan pengecasan telefon pintar anda berdasarkan kepala pengecas dan kabel USB (yang sentiasa rosak setiap 5 minggu). Aplikasi yang digunakan kali ini ialah AccuBattery.



Berikut adalah langkah mudah untuk menggunakan aplikasi tersebut.

  1. Muat turun aplikasi AccuBattery daripada Playstore.

  2. Buka aplikasi dan mula caj telefon pintar anda.


Di halaman utama aplikasi, apabila peranti sedang dicas, anda dapat melihat kepantasan arus (Charge Current) yang memasuki telefon pintar anda. Jika terlalu perlahan, maka garisan penanda tersebut akan berwarna kuning manakala jika ianya baik atau pantas garisan tersebut akan berubah menjadi hijau.

Di sini saya menggunakan 2 pengecas, pertama yang biasa (tidak menyokong Quick Charge) dan yang kedua pula menyokong pengecasan pantas Quick Charge 2.0.

Dengan pengecas yang menyokong Quick Charge 2.0 bersama kabel yang didatangi bersama, arus yang memasuki peranti naik sehingga 1200mA.



Namun apabila saya menggantikan dengan pengecas biasa, arusnya sekitar 300mA sehingga 700mA, jauh berbeza dengan pengecas sebelumnya.



Kabel juga memainkan peranan dalam menentukan kepantasan pengecasan. Apabila saya menggunakan pengecas yang menyokong Quick Charge 2.0 bersama kabel berasingan yang bukan dari setnya, kepantasan sebelum ini tidak dapat dicapai sepenuhnya. Ianya kurang 200-300 mA berbanding dengan kabel yang didatangi bersama pengecaj tersebut.



 

Berdasarkan eksperimen ini dapat saya simpulkan bahawa pengecas dan kabel USB kedua-keduanya memainkan peranan penting dalam menentukan kepantasan pengecasan telefon pintar anda. Bahkan ada juga kes telefon pintar meletup ketika dicas mungkin kerana lebihan arus dan voltan serta litar dalaman yang tidak selamat. Jadi, pilihlah pengecas yang berkualiti dan sesuai dengan kemampuan peranti anda kerana ia bukan sahaja akan mempengaruhi kesihatan bateri anda bahkan juga keselamatan anda.

Pelbagai lagi aplikasi yang menyediakan fungsi ini tetapi melalui percubaan saya AccuBattery ialah solusi yang lengkap yang kerana ia bukan sahaja menunjukkan arus dan voltan ketika mengecas tetapi juga memeriksa kesihatan bateri, merekodkan jumlah naik turun peratusan bateri dan mempunyai banyak lagi fungsi lain yang amat berguna. Muat turunlah AccuBattery sekarang dan cuba sendiri bagaimana pengecas dan kabel USB anda berfungsi.

Diingatkan juga, jika telefon pintar anda tidak menyokong Quick Charge, maka ia tidak akan mendapat apa-apa kesan positif daripada pengecas Quick Charge. Hal ini kerana semua telefon pintar hanya akan menerima arus yang semampunya sahaja tetapi ia mungkin akan mengalami kenaikan suhu lantas mempengaruhi kesihatan bateri. Anda boleh semak ketersediaan fungsi Quick Charge telefon pintar anda di laman web Qualcomm atau cari spesifikasinya di Google.

Artikel ini ditulis sepenuhnya oleh Aminuddin Ahmad. Terima kasih kerana menyumbangkan artikel. Pada anda yang berminat untuk menyumbang artikel berkenaan tek dan gajet sama ada tips atau hebahan, boleh emailkan kepada [email protected]