Facebook telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM140 bilion ($33.67 bilion) untuk tahun 2021, melebihi sasaran penganalisis iaitu $33.4 bilion.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Facebook, David Wehner menganggarkan mereka akan kehilangan sebanyak RM42 bilion ($10 bilion) untuk tahun ini sahaja hanya disebabkan iOS.
Yang dimaksudkan iOS di sini ialah ciri App Tracking Transparency (ATT) yang membolehkan pengguna menghalang mana-mana aplikasi untuk mendapatkan maklumat pengguna tanpa kebenaran. Untuk pengguna iOS, perasankah anda setiap kali anda memasang aplikasi baru, anda diberi pop-up untuk memilih”Ask App Not To Track”? Inilah ATT.
Zaman ini, data pengguna ialah wang kerana dengan mempunyai maklumat yang mencukupi, platform media sosial seperti Facebook dapat mengiklankan pengguna dengan produk yang dipercayai sesuai dengan mereka.
Seperti dalam The Social Dilemma, sumber pendapatan platform seperti ini ialah pengiklanan. Jadi , dengan lebih banyak produk terjual melalui iklan di platform mereka, lebih ramai pengiklan dan syarikat akan membeli perkhidmatan mereka.
Facebook juga mengaku selain polisi privasi yang dikenakan Apple, mereka turut dihimpit masalah inflasi dan rantaian bekalan yang menganggu bajet pengiklan.
CFO Facebook ini juga menuduh Apple berat sebelah dengan menyebelahi Google kerana pop-up ATT tidak dipaparkan apabila mereka menggunakan pelayar seperti Chrome. Justeru, pelayar buatan Google ini dapat menjejak dan mendapatkan maklumat pengguna tanpa kebenaran.
Wehner juga berkata ini adalah disebabkan Apple yang turut sama menjana pendapatan daripada iklan Google dengan berkata, “Apple terus menjana berbilion-bilion dolar setahun daripada iklan Google Search.”
Apa-apa pun, sudah pasti ATT memberi privasi dan keselamatan data yang lebih telus serta memberi kebaikan pada pengguna.
Sumber: MacRumors
Baca juga: