Dimensity 9000 Mungkin Pesaing Sebenar A15 Bionic, Kalahkan Snapdragon Dan Exynos

Snapdragon 8 Gen 1 menjadi cip paling berkuasa yang terdapat pada peranti Android. Kini mungkin tidak lagi selepas GeekBench 5 memperlihatkan markah penanda aras untuk Dimensity 9000.

Ice Universe telah berkongsikan markah tersebut di laman Twitter dengan menciapkan pembuat cip besar seperti Snapdragon dan Exynos tidak dapat duduk diam dengan markah tersebut.

Daripada gambar yang dikongsikan, cip tersebut telah diuji pada sebuah peranti Xiaomi yang dikatakan adalah Redmi K50 Pro Plus. Markah yang dicatatkan adalah 1,309 untuk teras tunggal dan 4546 untuk multi-teras.

https://twitter.com/UniverseIce/status/1502845849302597634

Ini menunjukkan bahawa Dimensity 9000 adalah satu-satunya cip yang paling menghampiri A15 Bionic dengan markah 1,734 untuk satu teras dan 4,818 untuk semua teras yang diuji pada iPhone 13 Pro Max.

Jika hendak dibandingkan dengan Snapdragon 8 Gen 1 dan Exynos 2200, masing-maing mempunyai markah 1,231 dan 1,157 untuk satu teras dan 3,752 dan 3,307 untuk semua teras yang diuji pada Samsung Galaxy S22 Ultra.

Markah ini juga telah meninggalkan Google Tensor jauh dibelakang dengan markah 1,042 dan 2,832 pada Pixel 6 Pro.

Dimensity 9000 ini telah diumumkan pada bulan November 2021 tahun lepas. Dengan menggunakan teknologi seni bina 4nm v9 terbaharu Arm, ia menjadi cip paling berkuasa yang dihasilkan oleh Dimensity.

Sebelum ini juga, kami ada melaporkan berkenaan dengan prestasi CPU untuk Snapdragon 8 Gen 1, Exynos 2200, Dimensity 9000 dan A15 Bionic. Berdasarkan carta tersebut, prestasi Dimensity 9000 memang benar berada di belakang A15 Bionic. Namun ketika itu, masih belum ada lagi peranti yang dijana oleh Dimensity 9000.



Kini, selepas diuji pada Redmi K50 Pro Plus yang dijangka dijual dengan harga sekitar $500 (~RM2103), ia diramalkan mampu menjadi peranti Android terbaik tahun 2022 yang sememangnya mampu saingi peranti premium yang berharga $1,000 (~RM4206) dikuasakan dengan Snapdragon 8 Gen 1.

Selain Redmi K50 Pro Plus, OPPO juga akan melancarkan Find X5 Pro versi Dimensity pada hujung bulan ini di China.

Sumber: Ice Universe

Baca juga: