Digi Wujudkan Program Future Skills For All - Kukuhkan Pembelajaran Digital Kepada Pelajar Sekolah

Baru-baru ini, Digi Telecommunications mengumumkan kerjasama mereka bersama MDEC dan UNICEF dalam program Future Skills For All. Program ini bertujuan untuk menjadikan pembelajaran kemahiran digital lebih mudah diakses oleh pelajar di sekolah. Selain itu, program ini juga mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan (MOE).

Pelancaran yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah itu, dirasmikan oleh YB Jenifer Lasimbang, Penolong Menteri bagi Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah. Pelancaran tersebut dihadiri oleh beberapa pihak berkepentingan utama dalam menjayakan program ini.

Program ini bertujuan untuk menyokong usaha Kementerian Pendidikan bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran Sains Komputer di Sekolah Kebangsaan. Inisiatif ini akan menghasilkan pendigitalan modul bagi beberapa mata pelajaran yang berasaskan teknologi. Antaranya adalah mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) bagi pelajar tahun 5 dan 6, Asas Sains Komputer dan Sains Komputer (SK) bagi pelajar tingkatan 1 sehingga tingkatan 5.

Digi

Modul digital tersebut terdiri daripada video tutorial, penilaian kuiz praktikal dan kandungan pembuatan projek. Ia juga akan menambah pembelajaran dari buku teks sedia ada yang digunakan oleh pelajar sebagai sebahagian daripada sukatan pembelajaran.

Program yang berada dalam fasa pertama ini akan dilaksanakan di seluruh negara. Pelajar dan guru-guru sudah boleh mengakses modul digital bagi mata pelajaran Sains Komputer dan RBT menerusi platform Google Classroom MOE menjelang akhir Mac tahun ini.

Bagi memastikan jangkauan yang meluas dalam penggunaan modul, program ini akan diperkenalkan di pusat-pusat Internet Digi, Digital Maker Hubs.

Lebih 1,300 komputer mikro bersaiz poket yang sering digunakan dalam kajian pengaturcaraan, akan diedarkan kepada pusat komuniti tersebut. Penyediaan ini bertujuan untuk menambahkan lagi keseronokan dalam pengalaman pembelajaran.