Dewan Rakyat Dimaklumkan Laporan Lengkap Pelaksanaan 5G Di Fasa Akhir

Dijangka akan disiapkan sebelum diserahkan kepada kerajaan dalam suku keempat tahun ini.


Semalam Dewan Rakyat telah dimaklumkan bahawa, Pasukan Petugas Khas 5G Negara kini berada pada fasa terakhir dalam melengkapkan laporan mengenai pelaksanaan 5G sebelum menyerahkannya kepada kerajaan dalam suku keempat tahun ini.

Ia dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang menyatakan, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengkaji dahulu laporan terbabit sebelum ia dibawa ke Kabinet.

Selain sesi libat urus, Gobind berkata kementerian melalui SKMM juga telah melaksanakan Projek Demonstrasi 5G Malaysia (5GDP) bertujuan memudah cara, membina dan memupuk pembangunan kes-kes penggunaan 5G yang berpotensi dalam persekitaran sebenar dan konteks yang lebih luas untuk mengembangkan ekosistem 5G.

Menjawab soalan tambahan Teh mengenai rancangan kerajaan untuk melengkapkan 3G dan 4G sementara beralih kepada 5G, Gobind berkata kerajaan akan membangunkan dua teknologi tersebut secara serentak bersama perkhidmatan 5G.

Malah menurut Gobind lagi, kerajaan telah melancarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sebagai usaha memastikan kawasan luar bandar dan terpencil tidak menghadapi masalah kekurangan infrastruktur teknologi termasuk 3G dan 4G.

NFCP telah pun dilancarkan bulan lepas bagi penyediaan liputan berkelajuan tinggi yang komprehensif dan jaringan digital yang berkualiti di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dalam tempoh lima tahun.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 minggu lalu, pihak Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM21.6 bilion bagi pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Sumber: Bernama